Friday, February 14, 2025
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dua produk kesihatan tercemar

    Oleh Sim Y. H.
    Gambar serahan Kementerian Kesihatan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 13 APRIL – Orang ramai diseru untuk tidak menggunakan dua produk kesihatan yang didapati dicemari dengan bahan racun berjadual yang tersenarai dalam Akta Racun, hasil daripada ujian makmal yang dijalankan oleh Bahagian Farmasi, Jabatan Perkhidmatan Makmal Saintifik, Kementerian Kesihatan.

    Kementerian Kesihatan dalam kenyataan yang dikeluarkan, di sini, menyatakan produk kesihatan yang dicemari adalah MagBlue Habbatus Sauda 100% Asli yang dikilangkan oleh RPM Herbs Industries, Kelantan Malaysia dan Jamu Herba Kampong Ramuan Asli Turun Temurun yang dikilangkan oleh Qaehh Beauty, di mana kedua-dua produk didapati dicemari dengan sibutramine.

    Bahan pencemar dalam produk berkenaan boleh mengakibatkan kesan-kesan mudarat yang membahayakan kesihatan.

    Sibutramine adalah agen pelangsing badan yang tidak lagi disarankan penggunaannya dalam rawatan obesiti kerana kesannya yang boleh memudaratkan jantung dan hati.

    Pengambilannya juga boleh menyebabkan kesan buruk yang serius seperti tekanan darah tinggi, denyutan jantung yang tidak menentu dan sukar untuk tidur serta dalam kes yang paling teruk, ia boleh menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan hati.

    Kementerian Kesihatan tidak pernah mengeluarkan kebenaran ke atas pengimportan bagi penjualan produk-produk berkenaan.

    Berikutan dapatan itu, produk-produk berkenaan dilarang untuk diimport dan dijual di Negara Brunei Darussalam.

    Orang ramai yang telah membeli atau menggunakan produk-produk berkenaan dinasihatkan untuk memberhentikan pengambilannya dengan serta-merta. Jika mereka mengalami kesan advers dan merasa tidak sihat selepas memakan produk-produk berkenaan, hendaklah berjumpa doktor dengan segera.

    Untuk maklumat dan perhubungan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Bahagian Komplians dan Pelesenan melalui talian 2393301 sambungan 208, menghantar e-mel kepada pharmacy.enforcement@moh.gov.bn, atau menghubungi Talian Darussalam 123.

    MagBlue Habbatus Sauda 100% Asli yang didapati dicemari dengan bahan racun iaitu sibutramine.
    Jamu Herba Kampong Ramuan Asli Turun Temurun.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda