Thursday, February 6, 2025
25.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dua produk mi segera ditarik balik

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 APRIL – Autoriti Makanan Brunei Darussalam (BDFA) memaklumkan bahawa Jabatan Kesihatan Taipei telah menarik balik dua mi segera iaitu Mee Kari Putih Ah Lai dari Malaysia dan Indomie: Perisa Ayam Istimewa dari Indonesia.

    Menurut BDFA, penarikan balik dua produk berkenaan adalah berikutan hasil ujian makmal yang melaporkan kehadiran sejenis racun perosak, etilena oksida, dalam produk tersebut.

    BDFA telah menghubungi pengimport produk jenama berkaitan di Negara Brunei Darussalam dan telah mengesahkan bahawa tiada kemasukan produk-produk terbabit ke negara ini.

    Etilena oksida merupakan sejenis racun perosak yang tidak dibenarkan dalam makanan dan akan menimbulkan masalah kesihatan jika terdedah dalam jangka masa panjang.

    BDFA juga mengingatkan orang awam akan peruntukkan di bawah Bab 9 ceraian (1) sub-perenggan (i) Akta (Kesihatan Awam) (Makanan), (Penggal 182), bahawa sesiapa yang menyediakan, menjual atau mengimport makanan yang boleh memudaratkan kesihatan boleh dipenjara selama lima tahun atau dikenakan suatu denda atau kedua-duanya sekali.

    Orang ramai yang ingin mengajukan sebarang pertanyaan dan mendapatkan keterangan lanjut bolehlah menghubungi BDFA melalui 2237417, 2237476 dan 2237314, faks ke talian 2237467 dan e-mel kepada info@bdfa.gov.bn ataupun boleh menghubungi pihak berkenaan di Unit 2G2:01, Tingkat 2, Blok 2G, Kondominium Ong Sum Ping, Jalan Ong Sum Ping.

    Mi segera Mee Kari Putih Ah Lai dari Malaysia dan Indomie: Perisa Ayam Istimewa dari Indonesia. – Gambar serahan BDFA
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda