Oleh Syahmi Hassan
Gambar serahan Jabatan Daerah Tutong
TUTONG, 30 DIS – Dua buah syarikat di Daerah Tutong telah dikenakan kompaun oleh Unit Penguatkuasaan, Jabatan Daerah Tutong kerana didapati melanggar Akta Kesalahan-kesalahan Rampaian 2021 iaitu melonggokkan sampah dan membuang sisa-sisa makanan di tempat awam.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Daerah Tutong, di sini, dua buah syarikat telah dikenakan denda kompaun sebanyak $200 di bawah Akta Kesalahan-kesalahan Rampaian 2021, dan kedua-dua buah syarikat tersebut dikehendaki untuk menjelaskan kompaun dalam tempoh tujuh hari.
Jika gagal membayar denda tersebut dalam masa tujuh hari daripada tarikh kompaun dikeluarkan maka syarikat-syarikat tersebut boleh dihadapkan ke mahkamah dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang dari $2,000 dan tidak melebihi $10,000.
Manakala bagi kesalahan kedua atau berikutnya masing-masing boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang dari $10,000 dan tidak melebihi $30,000 atau dihukum penjara bagi suatu tempoh tidak melebihi 12 bulan atau kedua-duanya sekali.
Sehubungan itu, Unit Penguatkuasaan, Jabatan Daerah Tutong dalam kenyataan akhbarnya mengingatkan orang ramai, pihak syarikat dan pemilik premis-premis perniagaan agar sentiasa menjaga kebersihan alam sekitar, khususnya di kawasan premis-premis perniagaan dan juga kawasan awam dengan tidak membuang, melonggokkan atau meninggalkan apa jua jenis sampah sarap di tempat awam.