Oleh Yusrin Junaidi
Gambar serahan Jabatan Daerah Tutong
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 JAN – Dua buah syarikat di Kampung Telisai, Tutong, masing-masing dikenakan kompaun $500 oleh Unit Penguatkuasaan, Jabatan Daerah Tutong atas kesalahan membuang sampah di tempat awam.
Menurut kenyataan jabatan itu, kedua-dua buah syarikat berkenaan telah melakukan kesalahan di bawah Akta Kesalahan-kesalahan Rampaian 2021 dan dikehendaki untuk menjelaskan kompaun dalam tempoh tujuh hari.
Jika gagal membayar denda tersebut, syarikat-syarikat tersebut boleh dihadapkan ke mahkamah di mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang $2,000 dan tidak melebihi $10,000 bagi kesalahan pertama.
Bagi kesalahan kedua atau berikutnya boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang $10,000 dan tidak melebihi $30,000, dihukum penjara bagi suatu tempoh tidak melebihi 12 bulan atau kedua-duanya sekali.
Sehubungan itu, Unit Penguat-kuasaan, Jabatan Daerah Tutong mengingatkan orang ramai, pihak syarikat dan pemilik premis-premis perniagaan agar sentiasa menjaga kebersihan alam sekitar, khususnya di kawasan premis-premis perniagaan dan juga kawasan awam dengan tidak membuang, melonggokkan atau meninggalkan apa jua jenis sampah sarap di tempat awam.