DUBAI, 25 JULAI – Emiriah Arab Bersatu (UAE) akan menganjurkan acara berprestij ‘Games of the Future 2025’ yang akan berlangsung di Dubai, selepas majlis pemilihan besar-besaran diadakan di Istanbul bulan lepas, lapor agensi berita Emirates (WAM).
Acara yang dijadualkan pada musim luruh 2025 dijangka menjadi peristiwa penting dalam kalendar sukan fizital (phygital sports), sekali gus meningkatkan reputasi Dubai sebagai peneraju global dalam inovasi, teknologi dan sukan.
Sukan fizital atau phygital sports merujuk kepada sukan yang menggabungkan pengalaman fizikal dan digital, menggabungkan dunia nyata dengan dunia maya.
“Menjadi tuan rumah Games of the Future 2025 pada musim luruh tahun depan bukan sahaja mempamerkan pengalaman luas Dubai dalam menganjurkan kejohanan sukan bertaraf dunia, tetapi juga menghantar mesej kepada dunia bahawa Dubai berdedikasi untuk membina dan mengembangkan komuniti fizital global yang benar-benar berasaskan inovasi dan kecemerlangan,” kata Ketua Pengarah General Authority of Sports, UAE Ghanim Mubarak Al Hajeri.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Phygital International, Nis Hatt berkata acara paling penting dalam kalendar sukan fizital bakal berlangsung di Dubai, sebuah bandar yang sentiasa meneroka sempadan kemajuan sukan dan teknologi.
The Games of the Future 2025 menjanjikan kecemerlangan sukan fizital yang luar biasa. Pasukan dari seluruh dunia sudah pun dalam proses kelayakan melalui Komuniti Fizital Sedunia (WPC) dan menyertai musim kejohanan Phygital Games 2024/25.
Dubai baru-baru ini melancarkan Program Permainan Dubai 2033, bertujuan menarik gergasi teknologi serta bakat-bakat digital dan permainan dari seluruh dunia.
Games of the Future tidak mengenakan sebarang sekatan ke atas peserta dan mengalu-alukan semua orang tanpa mengira umur, jantina dan kewarganegaraan.
Phygital International menjangkakan Games of the Future 2025 di Dubai akan mengalu-alukan ribuan atlet bertaraf dunia dan pemain esports dari 100 negara, sebagai sebahagian daripada pasukan kebangsaan dan multinasional. – Bernama