Oleh Nurdiyanah R.
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 JAN – Bersempena Sambutan Bulan Bahasa, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pagi tadi meneruskan lagi program Dudun DBP bagi Daerah Brunei dan Muara di Perpustakaan DBP, Bandar Seri Begawan.
Program yang turut memeriahkan Bandarku Ceria itu telah berlangsung seawal 8 pagi di mana antara aktiviti dan permainan yang disediakan ialah Teka Benda, Junjung Dialek, Cabaran Bola Pingpong, Sahiba, Jigsaw Puzzle, Pantun Teka-teki, Siut, Pop, Putar, Kenali Perpustakaan DBP, Kahoot!, storytelling, Permainan Ular dan Tangga, Kenali Penerima Anugerah, Melontar Bulatan dan Lakaran dalam Kegelapan.
Turut memeriahkan sepanjang program berkenaan ialah perkhidmatan pendaftaran keahlian yang memberi peluang kepada orang awam untuk mendaftar sebagai ahli perpustakaan, pameran dan jualan buku-buku terbitan DBP.
Sebelumnya, Dudun DBP dimulakan di Daerah Tutong pada acara Tutongku Ceria sekitar awal September tahun lalu kemudian di Daerah Temburong sebagai pengisian program Ke Temburong Bisai pada 4 Disember 2022.
Ia merupakan salah satu inisiatif pemartabatan Bahasa Melayu yang bertujuan untuk menanamkan sikap positif masyarakat bagi memelihara dan mendaulatkan Bahasa Melayu, selain menggemakan dan menyemarakkan sambutan Bulan Bahasa ke seluruh negara.