Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Dynamik Technologies lancar bangku pintar suria

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 NOV – Sebagai sebahagian daripada inisiatif kemapanannya, Dynamik Technologies telah melancarkan Dynamik Bench, sebuah bangku pintar suria pada majlis yang berlangsung di Taman Mahkota Jubli Emas baru-baru ini.

    Hadir merasmikan pelancaran bangku pintar berkenaan ialah Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar), Kementerian Pembangunan, Dr Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak.

    Bangku Pintar Suria Dynamik, sebuah produk inovasi daripada Kuube Plus dari Hungary, bukan sahaja menyediakan tempat duduk yang selesa untuk masyarakat tetapi juga menggabungkan ciri-ciri canggih, termasuk dua pengecas tanpa wayar, dua pengecas USB dan sentiasa memantau persekitarannya seperti perubahan dalam suhu, tahap UV, kualiti udara, kelembapan dan tekanan udara.

    Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Dynamik Technologies, Dayang Haslinda Taib, komuniti perniagaan memainkan peranan penting dalam mencapai keseimbangan di antara pertumbuhan dan tanggungjawab alam sekitar.

    “Oleh yang demikian, kami teruja untuk menerajui usaha kolaborasi ini dengan Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi, dengan pengenalan Bangku Pintar Suria Dynamik di Taman Mahkota Jubli Emas. Inisiatif mesra alam ini merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan Dynamik Technologies untuk menyumbang kepada persekitaran yang mampan selain memudahkan integrasi teknologi ke dalam masyarakat demi kesejahteraan bersama,” kata Dayang Haslinda.

    Dr Nor Imtihan bergambar ramai semasa pelancaran bangku pintar suria berkenaan di Taman Mahkota Jubli Emas baru-baru ini.

    Sempena pelancaran itu, Dynamik Technologies juga telah memulakan kempen media sosial. Ia termasuk pertandingan fotografi dan pencarian jejak digital bertujuan menggalakkan penyertaan aktif untuk mempromosikan kesedaran tentang ciri-ciri mesra alam bangku pintar berkenaan serta menggalakkan amalan kelestarian.

    Majlis juga dihadiri oleh Setiausaha Tetap (Infrastruktur, Perumahan, dan Profesional), Ir Haji Amer Hishamuddin bin Pehin Orang Kaya Amar Pahlawan Dato Seri Setia Haji Zakaria; Timbalan Setiausaha Tetap (Korporat dan Undang-undang), Dayang Aldila binti Haji Mohamad Salleh; Timbalan Setiausaha Tetap (Industri Pembinaan dan Kemajuan), Kementerian Pembangunan, Sr Hajah Norhayati binti Haji Mohd Yaakub, dan wakil utama daripada Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi, Kementerian Pembangunan, Lembaga Pelancongan Brunei dan Green Brunei.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...