Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 OGOS – Sebagai salah satu usaha untuk memartabatkan e-Sukan dan menyerlahkan keinginan untuk menguasai pasaran permainan tempatan, Netcom Computer House dan Goodfellas CS: GO Team telah memeterai perjanjian perkongsian selama setahun.
Perjanjian yang ditandatangani di cawangan Netcom, Kiulap hari ini menyaksikan Netcom akan menjadi penaja utama Goodfellas bagi alat-alat permainan dan Netcom pula bertindak sebagai jenama rasmi eksklusif untuk pemain Goodfellas dengan membekalkan pasukan tersebut alat-alat berjenama HyperX.
Di samping itu, Goodfellas pula akan menjamin Netcom dengan pendedahan jenama pada platform, penglibatan aktiviti dan penyertaan pertandingan seperti striman secara langsung, saluran YouTube dan media sosial.
Goodfellas ditubuhkan pada tahun 2013 dan menjadi salah satu pasukan teratas di Brunei. Perjanjian ini merupakan lambang keinginan Netcom untuk mencapai pasaran permainan tempatan dan menyokong e-Sukan di Brunei.
