Thursday, May 2, 2024
23.9 C
Brunei

    -

    EAS perlu kongsi dasar, kepakaran

    Gambar oleh Infofoto

    PHNOM PENH, KEMBOJA, 13 NOV – Bagi memastikan rantau ini lebih bersedia mengurangkan kesan terhadap keselamatan makanan dan peralihan kepada sumber tenaga boleh diperbaharui, ASEAN telah berusaha untuk menubuhkan Pusat Perubahan Iklim di Negara Brunei Darussalam.

    Sehubungan itu, kepakaran teknikal dan saintifik daripada rakan-rakan kongsi bagi membantu pusat itu membangunkan dasar untuk menangani isu-isu silang dengan lebih baik adalah amat dialu-alukan.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam hari ini menekankan perkara itu semasa bertitah pada Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) ke-17 dan keberangkatan ke Majlis Penutup Sidang-sidang Kemuncak ASEAN ke-40 dan ke-41 serta Sidang-sidang Kemuncak berkaitan dan Penyerahan Pengerusi ASEAN kepada Indonesia di Hotel Sokha Phnom Penh, Kemboja.

    Berangkat mengiringi Baginda ke upacara-upacara itu ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.

    Baginda turut bertitah bahawa EAS merupakan forum yang diterajui pemimpin-pemimpin utama telah menggalakkan keamanan, kestabilan dan kemakmuran di rantau ini. Oleh itu, EAS hendaklah kekal relevan secara strategik dan praktikal bagi dialog yang membina serta kerjasama pelbagai hala.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan menghadiri Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) ke-17. Berangkat sama ialah DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen ketika berangkat menghadiri Majlis Penutup Sidang-sidang Kemuncak ASEAN ke-40 dan ke-41 serta Sidang-sidang Kemuncak Berkaitan dan Penyerahan Pengerusi ASEAN kepada Republik Indonesia, yang berlangsung di Hotel Sokha Phnom Penh, Kemboja, kelmarin.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia semasa berkenan menghadiri Sidang Kemuncak Asia Timur ke-17.
    Perdana Menteri Kemboja menyerahkan Gavel Pengerusi ASEAN kepada Perdana Menteri Indonesia sebagai penyerahan simbolik kepada Republik Indonesia yang akan menjadi Pengerusi ASEAN bagi 2023.
    Perdana Menteri Kemboja menyampaikan penghargaan kepada TYT Dato Paduka Lim Jock Hoi atas sumbangannya sejak pelantikannya sebagai Setiausaha Agung ASEAN.

    Ke arah ini, Baginda menggariskan kepentingan bagi semua pihak untuk terus menyokong multilateralisme yang diasaskan pada prinsip Piagam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan berdasarkan kepada undang-undang antarabangsa.

    Baginda seterusnya menyentuh isu kesihatan mental yang berpotensi untuk menghalang kemajuan sosioekonomi dan kesejahteraan seluruh rakyat, menekankan keperluan bagi semua pihak untuk terus bekerjasama rapat dalam mengongsikan dasar dan kepakaran praktikal bagi membantu meringankan beban.

    Sebagai susulan kepada Kenyataan Pemimpin-pemimpin Sidang EAS mengenai Kerjasama Kesihatan Mental yang diluluskan pada tahun lepas, Baginda juga menyeru supaya pihak masing-masing dapat membangunkan pelan tindakan bagi menggalakkan kerjasama serantau dan antarabangsa mengenai kesihatan mental.

    Semasa EAS itu juga, Presiden Majlis Eropah, Tuan Yang Terutama Charles Michel dan Setiausaha Agung Shanghai Cooperation Organisation (SCO), Zhang Ming menerangkan mengenai keselamatan makanan dan tenaga.

    Sementara itu, Setiausaha Agung ASEAN, Tuan Yang Terutama Dato Paduka Lim Jock Hoi melaporkan perkembangan penting EAS termasuk kerjasama dalam menangani isu kesihatan global, memajukan ke arah masa depan tenaga yang mampan, kerjasama
    yang lebih besar dalam perdagangan serantau dan global, serta kerjasama maritim.

    Dalam pada itu, para pemimpin EAS menyuarakan kebimbangan bersama mereka terhadap cabaran keselamatan global dan seterusnya menyeru agar penyelesaian konflik secara aman damai dapat dicapai melalui dialog, serta menegakkan komitmen terhadap multilateralisme.

    Para pemimpin juga mengharapkan integrasi ekonomi serantau yang lebih baik dan meningkatkan kerjasama EAS dalam pendigitalan dan tenaga mampan.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya berkenan berangkat menghadiri Majlis Penutup Sidang-sidang Kemuncak ASEAN ke-40 dan ke-41 serta Sidang-sidang Kemuncak Berkaitan dan Penyerahan Pengerusi ASEAN kepada Republik Indonesia.

    Majlis dimulakan dengan ucapan penutup daripada Perdana Menteri Kemboja, Tuan Yang Terutama Samdech Akka Moha Sena Padei Techo Hun Sen selaku Pengerusi ASEAN, di mana beliau melahirkan penghargaan kepada semua ketua negara dan kerajaan ASEAN yang menghadiri sidang-sidang kemuncak ASEAN ke-40 dan ke-41 serta sidang-sidang kemuncak berkaitan.

    Tuan Yang Terutama seterusnya menghargai TYT Dato Paduka Lim Jock Hoi atas sumbangan-sumbangannya sejak pelantikannya sebagai Setiausaha Agung ASEAN.

    Semasa majlis tersebut, Haji Muhammad Iqbal Fakhri bin Haji Damit dari Negara Brunei Darussalam telah diumumkan sebagai penerima ASEAN Prize 2022, yang mana beliau dihargai atas kepimpinan aktif dalam gerakan belia dan kesukarelawanan khususnya memberikan bantuan kepada orang-orang kehilangan tempat tinggal, sekali gus menjiwai semangat Komuniti ASEAN yang berorientasikan rakyat dan berdaya tahan.

    Perdana Menteri Kemboja seterusnya menyerahkan kedudukannya sebagai Pengerusi ASEAN kepada Presiden Republik Indonesia, Tuan Yang Terutama Joko Widodo melalui penyerahan Gavel Pengerusi ASEAN sebagai penyerahan simbolik kepada Republik Indonesia yang akan menjadi Pengerusi ASEAN bagi 2023.

    Ini diikuti dengan ucapan daripada Presiden Republik Indonesia yang antara lainnya menekankan mengenai isu-isu yang akan diutamakan oleh Republik Indonesia pada 2023 selaku Pengerusi ASEAN di bawah tema ASEAN Matters: Epicentrum of Growth, dan tayangan video daripada Republik Indonesia.

    Di bawah kepengerusian Kemboja pada tahun ini, para pemimpin, antara lainnya bersetuju pada dasarnya bagi keahlian Timor-Leste selaku ahli ASEAN ke-11 dan bagi negara berkenaan untuk diberikan status negara pemerhati dalam ASEAN, ini termasuk penyertaan dalam kesemua mesyuarat ASEAN serta sesi-sesi pleno pada sidang
    kemuncak.

    ASEAN juga meningkatkan hubungan dengan Amerika Syarikat dan Republik India melalui penubuhan Perkongsian Strategik Komprehensif di antara kedua-dua buah negara berkenaan.

    Selain itu, pengumuman kemuktamadan substantif perundingan menaiktarafkan Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-Australia-New Zealand (AANZFTA) juga merupakan salah satu Priority Economic Deliverables (PED) bagi Kemboja, di mana Negara Brunei Darussalam selaku Negara Penyelaras bagi AANZFTA.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Bangladesh catat suhu paling panas bulan April

    DHAKA, 1 MEI - Biro cuaca Bangladesh berkata hari ini bahawa bulan lalu merupakan bulan paling panas dalam rekod, dengan negara Asia Selatan dan...