Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    EAT bantu perkembangan kanak-kanak autisme

    YAN, 19 JAN – Selepas tiga tahun menjalani terapi bantuan kuda (equine-assisted therapy – EAT), seorang kanak-kanak berkeperluan khas menunjukkan perkembangan positif dari segi komunikasi dan tingkah lakunya.

    Bapa kanak-kanak itu, Ali Imran Amir, 41, berkata anaknya Ali Uwais Abqari, 11, yang juga kanak-kanak autisme, kini sudah boleh mendengar arahan dan memberi tindak balas selain mampu untuk fokus ketika berinteraksi dengan rakan-rakannya.

    “Anak saya ni ada beberapa ketakutan, dulu dia takut dengan binatang-binatang besar seperti rusa tapi sekarang tidak lagi dan satu benda yang saya kagum, dulu dia susah terima arahan, sekarang nampak dia boleh menerima arahan.

    “Cara bercakap dan komunikasi dengan kawan juga nampak perubahan, dari awal dulu dia tidak bercakap dan banyak berkhayal, sekarang bila saya bercakap dia boleh terima dan dia faham,” katanya ketika ditemui Bernama di Equine Resort di sini, hari ini.

    Menurut Ali Imran yang bertugas sebagai pesuruhjaya sumpah di Pendang, anaknya dikesan mempunyai ciri-ciri autisme pada usia tiga tahun dan sejak itu dia dan isteri berusaha mendapatkan terapi untuk cahaya mata mereka itu.

    Beliau kemudian dipertemukan dengan seorang pengurus kandang dan pelatih kuda di Equine Resort dan berbincang mengenai terapi untuk anaknya menerusi EAT.

    Ali Imran seterusnya bersetuju mencuba rawatan itu untuk anaknya memandangkan khidmat tersebut tidak banyak disediakan di negara ini, khususnya dalam membantu kanak-kanak berkeperluan khas termasuk autisme. – Bernama

    Ali Uwais Abqari semasa menjalani terapi berkuda di Equine Resort baru-baru ini. Terapi yang dilakukan sejak tiga tahun lalu membuahkan hasil apabila dia sudah menunjukkan perkembangan positif termasuk boleh menerima dan memberi arahan. – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...