Monday, October 21, 2024
27.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ecuador dikecam serbu kedutaan Mexico

    QUITO, 7 APRIL – Ecuador berdepan kritikan daripada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan seluruh Amerika Latin kelmarin selepas pasukan keselamatannya menyerbu kedutaan Mexico di Quito untuk menangkap bekas naib presiden, Jorge Glas, dituduh melakukan rasuah, yang telah diberikan perlindungan politik di bangunan tersebut.

    Pasukan khas yang dilengkapi pelantak mengepung kedutaan, dan sekurang-kurangnya seorang ejen memanjat dinding, dalam serbuan yang tidak pernah berlaku ke atas premis diplomatik yang dianggap sebagai wilayah berdaulat yang tidak boleh dicerobohi.

    Insiden malam Jumaat lalu telah mendorong Mexico untuk memutuskan segera hubungan diplomatik dengan Ecuador.

    “Ini adalah pelanggaran terang-terangan undang-undang antarabangsa dan kedaulatan Mexico,” tulis Presiden, Andres Manuel Lopez Obrador, di X.

    Nicaragua juga mengikut jejak langkah, dengan memetik serbuan tersebut sebagai ‘tindakan luar biasa dan keji’.

    Terdapat juga teguran negatif dari kerajaan serantau merentasi spektrum politik, termasuk Argentina, Bolivia, Brazil, Chile, Colombia, Cuba, Peru dan Venezuela.

    Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres ‘bimbang’ dengan serbuan itu, dan menggesa kedua-dua pihak menunjukkan persefahaman dalam menyelesaikan pertikaian itu, kata jurucakapnya.

    Lopez Obrador berkata pihak berkuasa ‘memasuki secara paksa’ bangunan itu untuk menangkap Glas, yang dikehendaki atas tuduhan rasuah dan telah berada di kedutaan sejak Disember lalu sebelum diberikan perlindungan Jumaat lepas.

    Beliau berkata beliau akan memfailkan aduan terhadap Ecuador di Mahkamah Keadilan Antarabangsa. – AFP

    Polis memecah masuk kedutaan Mexico di Quito, Ecuador pada 5 April. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda