Wednesday, March 19, 2025
27.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Edar dadah: Suami isteri terlepas hukuman gantung

    IPOH, 26 JULAI – Sepasang suami isteri berpelukan dan menitis air mata kesyukuran apabila terlepas hukuman gantung setelah Mahkamah Tinggi di sini, melepas dan membebaskan mereka atas tuduhan mengedar dadah tiga tahun lepas.

    Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed membacakan keputusan tersebut setelah pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh, Muhammad Yasmi Mohammad Yasin, 48, dan isterinya Rossuhili Ikhsan, 47.

    Pasangan suami isteri itu didakwa mengedar dadah berbahaya, iaitu 10.9 gram heroin dan 9 gram monoacetylmorphines di sebuah rumah di Jalan Melati, Kampung Sri Klebang, Chemor, Kinta  pada 27 September 2020. 

    Berdasarkan fakta kes menyatakan semasa serbuan dilakukan pada 6 petang, polis telah menemukan sebungkus plastik hitam di atas lantai di dalam rumah berkenaan selain satu alat penimbang digital, satu bungkusan plastik lutsinar mengandungi plastik-plastik lutsinar kosong serta beberapa peralatan lain.

    Mereka yang bekerja sendiri itu didakwa mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta yang sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

    Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Malaysia, Saifulakmal Mod Said manakala kedua-dua tertuduh diwakili Mohamad Hafiz Jalaludin.

    Seramai enam saksi telah dipanggil sejak perbicaraan kes itu dijalankan bermula Oktober 2022. – Bernama

    Mahkamah Tinggi hari ini, membebaskan pasangan suami isteri, Mugammad Yasmi (dua, kanan) dan Rossuhili Ikhsan (empat, kanan) daripada tuduhan mengedar dadah tiga tahun lalu. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda