Oleh Pg Fairol RMF
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Okt – Grand Motors Sdn Bhd selaku pengedar eksklusif DS Automobiles bersama Auto Makmur Sdn Bhd semalam telah melancarkan model terbaharu DS bagi pelanggan VIP di Beribi.
Model baharu sebuah Kompak SUV yang premium itu didedahkan kepada tetamu VIP selepas tayangan video mengenai fungsi kereta tersebut.
Hadir menyempurnakan majlis pelancarannya ialah Duta Besar Perancis ke Negara Brunei Darussalam, Tuan yang Terutama Christian Ramage.
Turut hadir ialah Yang Amat Mulia Pengiran Anak Haji ‘Abdul ‘Ali Yil-Kabier bin Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz.
Model tersebut turut dipamerkan kepada orang ramai dari 9 pagi hingga 4 petang dengan jamuan istimewa turut disediakan.



Model baharu yang dipanggil sebagai DS7 Crossback berkenaan tampil dengan rupa futuristik dan dilengkapi teknologi tinggi dari Perancis.
Penampilan edisi terbaharu DS7 Crossback yang mewah ini dimantapkan lagi dengan lampu utama DS Active LED Vision, skrin sentuh pelbagai guna berukuran 12 inci yang mampu memainkan aplikasi Android Auto atau Apple CarPlay.
Apa yang menarik ialah DS7 dilengkapi kamera infra merah bagi membantu pemandu melihat pada waktu gelap sejauh 100 meter.
Selain itu, ia juga membantu mengaktifkan sistem amaran awal potensi bahaya kepada pemandu.
Antara teknologi lain yang menyempurnakan penampilan model ini ialah Driver Attention Warning, DS Active Scan Suspension dan DS Safety yang akan mengaktifkan segala fungsi sistem keselamatan di dalam kereta.
DS7 Crossback didatangkan dengan dua jenis varian untuk pasaran Brunei iaitu spesifikasi sederhana atau tinggi.
Kedua-dua spesifikasi tersebut digerakkan oleh enjin 1.6 liter 4-silinder PureTech Turbo dengan transmisi automatik enam kelajuan.