Ahad, 23 November 2025
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ekonomi ASEAN dijangka meningkat

    Oleh Sim Y. H.
    Gambar serahan AMRO

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 APRIL – Ekonomi rantau ASEAN+3 diunjurkan akan tumbuh sebanyak 4.6 peratus pada 2023 dan 4.5 peratus pada 2024 manakala ekonomi ASEAN diunjurkan akan tumbuh sebanyak 4.9 peratus pada 2023 dan 5.2 peratus pada 2024.

    Unjuran Pertumbuhan ekonomi bagi rantau ASEAN dan ASEAN+3 itu dibuat oleh kakitangan Pejabat Penyelidikan Makroekonomi ASEAN+3 (AMRO) dalam laporan utama tahunannya, ASEAN+3 Regional Economic Outlook (AREO) 2023 yang diterbitkan pada 6 April lalu.

    Pada masa yang sama, rangsangan dalam pelancongan dan perdagangan dalam serantau daripada pemulihan ekonomi China akan membantu dalam mengurangkan kesan daripada permintaan luar yang lebih lemah dari Amerika Syarikat (AS) dan Eropah, jelas Ketua Pakar Ekonomi AMRO, Dr Hoe Ee Khor semasa taklimat media mengenai laporan AREO 2023, baru-baru ini.

    Permintaan domestik juga dijangka akan kekal mantap dengan perbelanjaan isi rumah disokong oleh inflasi yang lebih rendah dan pendapatan yang meningkat.

    Pada masa yang sama, AMRO juga menjangkakan inflasi menurun daripada 6.5 peratus pada 2022 kepada 4.7 peratus pada 2023 sebelum kembali normal kepada 3 peratus pada 2024.

    Dengan pertumbuhan berada di kedudukan yang lebih kukuh, penggubal dasar di rantau berkenaan, ulasnya, telah mengalihkan tumpuan kepada menangani inflasi yang kekal tinggi dan memulihkan penampan dasar.

    Namun begitu, masih terdapat banyak risiko dengan prospek pertumbuhan serantau boleh menjadi lembap dengan kenaikan mendadak harga tenaga yang disebabkan oleh peningkatan krisis Ukraine atau pemulihan yang lebih lemah daripada yang dijangkakan di China atau kelembapan mendadak di AS.

    Di samping itu, pengetatan dasar monetari AS yang berterusan di tengah-tengah kebimbangan kestabilan kewangan yang semakin meningkat juga boleh meningkatkan turun naik pasaran kewangan dan mencetuskan kebimbangan penularan, jelas beliau lagi.

    Dr Hoe Ee Khor (kiri) semasa sesi taklimat mengenai laporan tahunan terbitan AMRO, ASEAN +3 Regional Economic Outlook 2023 pada 6 April lalu.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda