Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Ekonomi negara catat pertumbuhan positif

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 JAN – Jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Negara Brunei Darussalam, pada harga semasa suku ketiga (Q3) 2022 meningkat kepada $5.8 bilion berbanding $4.7 bilion pada Q3 2021.

    Sektor minyak dan gas yang merangkumi aktiviti perlombongan minyak dan gas dan pembuatan gas asli cecair (LNG) menyumbang sebanyak 51.7 peratus daripada jumlah nilai tambah kasar (GVA).

    Sementara itu, sektor bukan minyak dan gas yang termasuk aktiviti hiliran seperti pembuatan produk petroleum dan kimia, telah menyumbang sebanyak 48.3 peratus daripada jumlah KDNK, menurut Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES), Kementerian Kewangan dan Ekonomi dalam kenyataannya hari ini.

    Kenyataan mengongsikan lanjut, pada Q3 2022, sumbangan utama KDNK mengikut aktiviti ekonomi adalah sektor industri yang menyumbang sebanyak 66.4 peratus, diikuti oleh sektor perkhidmatan 32.5 peratus dan sektor pertanian, perhutanan dan perikanan 1.1 peratus.

    Manakala, jumlah KDNK pada harga tetap mencatatkan pertumbuhan sebanyak 0.9 peratus tahun-ke-tahun. Ia adalah disebabkan peningkatan dalam sektor bukan minyak dan gas sebanyak 4.6 peratus. Walau bagaimanapun, sektor minyak dan gas mencatatkan penurunan sebanyak 2.7 peratus.

    Sektor bukan minyak dan gas terus menunjukkan perkembangan yang positif dengan peningkatan pada subsektor-subsektor seperti hiliran, kewangan, pengangkutan udara, perdagangan borong dan runcit dan perikanan.

    Peningkatan pada aktiviti hiliran adalah disebabkan peningkatan pengeluaran metanol sebanyak 16.1 peratus iaitu daripada 129,778 tan metrik pada Q3 2021 kepada 150,674 tan metrik pada Q3 2022, dan pengeluaran baharu produk kimia khususnya baja urea.

    Manakala itu, peningkatan subsektor kewangan adalah selaras dengan peningkatan pendapatan aktiviti kewangan dan perbankan.

    Menurut kenyataan itu lagi, subsektor pengangkutan juga meningkat terutamanya disumbangkan oleh peningkatan pada aktiviti pengangkutan udara.

    Peningkatan aktiviti pengangkutan udara adalah selaras dengan peningkatan jumlah ketibaan penumpang udara iaitu daripada 4,494 orang pada Q3 2021 kepada 79,730 orang pada Q3 2022, dan pelepasan penumpang udara iaitu daripada 8,140 orang pada Q3 2021 kepada 71,595 orang pada Q3 2022 berikutan keluar masuk dari negara ini telah dibenarkan.

    Peningkatan subsektor perdagangan borong dan runcit pula adalah disebabkan kenaikan permintaan domestik selaras dengan pengurangan langkah-langkah pengawalan berikutan tamatnya Fasa Awal Endemik COVID, yang mana jika dibandingkan pada Q3 tahun lepas, banyak sekatan pergerakan telah dilaksanakan bagi mengawal penularan COVID.

    Peningkatan subsektor itu juga selaras dengan peningkatan jualan runcit yang didorong terutamanya oleh peningkatan jualan tekstil, pakaian dan kasut, jualan perkakasan, cat dan kaca di kedai khusus dan jualan di stesen minyak.

    Tambahan lagi, peningkatan subsektor perikanan adalah disebabkan peningkatan industri penangkapan ikan dan akuakultur.

    Peningkatan industri penangkapan ikan adalah terutamanya disebabkan aktiviti nelayan kecil-kecilan. Manakala, penyumbang utama bagi industri akuakultur adalah keluaran ternakan udang. Namun demikian, penurunan dalam sektor minyak dan gas adalah disebabkan penurunan pengeluaran minyak mentah daripada 97.1 ribu tong sehari pada Q3 2021 kepada 86.2 ribu tong sehari pada Q3 2022.

    Pengeluaran gas asli juga menurun daripada 28.7 juta meter padu sehari pada Q3 2021 kepada 28 juta meter padu sehari pada Q3 2022.

    Penurunan pengeluaran minyak dan gas asli adalah disebabkan penutupan tidak berjadual dan penutupan berjadual bagi aktiviti-aktiviti penyelenggaraan serta pemulihan pelantar minyak luar pantai.

    Ia telah mengehadkan kapasiti bekalan gas asli ke loji LNG, dan menyebabkan penerimaan gas yang rendah untuk tujuan pengeluaran LNG.

    Selain itu, aktiviti-aktiviti penyelenggaraan juga telah dijalankan ke atas loji LNG yang menyebabkan pengeluaran LNG menurun daripada 750,944MMBtu sehari pada Q3 2021 kepada 731,975MMBtu sehari pada Q3 2022.

    Mengikut pendekatan perbelanjaan, peningkatan pertumbuhan KDNK pada Q3 2022 adalah didorong oleh peningkatan eksport barangan dan perkhidmatan sebanyak 14.3 peratus khususnya eksport barangan bahan api galian.

    Ia diikuti oleh peningkatan perbelanjaan penggunaan akhir isi rumah (12.2 peratus), perbelanjaan kapital swasta (2.4 peratus) dan perbelanjaan penggunaan akhir kerajaan (0.4 peratus).

    KDNK adalah ukuran bagi jumlah nilai barangan dan perkhidmatan yang dikeluarkan dalam tempoh tertentu setelah ditolak kos barangan dan perkhidmatan yang digunakan dalam proses pengeluaran.

    Laporan penuh KDNK Q3 2022 boleh didapati di laman sesawang JPES, deps.mofe.gov.bn.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...