Oleh Yusrin Junaidi
TEMBURONG, 25 APRIL – Persatuan Brunei-Amerika Syarikat (BUSA) dengan kerjasama Persatuan Pacuan Empat Roda Brunei (BFWDA), kelmarin, telah menganjurkan ekspedisi amal di Daerah Temburong.
Sebanyak 14 buah keluarga dari Kampung Piasau-Piasau, Kampung Belingus, Kampung Selangan, dan Kampung Menengah telah dipilih untuk menerima sumbangan dalam program amal berkenaan. Perjalanan ekspedisi amal berkenaan dibimbing dan diketuai oleh ketua-ketua kampung berkenaan.
Semasa ekspedisi amal itu, Kedutaan AS di Brunei Darussalam diketuai oleh bakal Duta Besar Istimewa dan Mutlak AS ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Caryn R. McClelland dan Persatuan BUSA pula diketuai oleh presidennya, Dayang Salimah binti Haji Saim manakala itu, BFWDA diketuai oleh Presiden, Haji Ibrahim bin Haji Awang Damit.
Turut hadir pada pusingan pertama ekspedisi itu ialah Pemangku Pegawai Daerah Temburong, Pengiran Muhammad Ameer Mubaarak bin Pengiran Haji Hashim.
Keluarga-keluarga yang terpilih menerima barangan asas harian seperti makanan dalam tin, beras, mi, minyak dan barangan keperluan lain yang disumbangkan oleh orang ramai, sementara anak-anak juga menerima paket hijau.
Acara diakhiri dengan berbuka puasa di Mangrove Paradise Resort, Kampung Serdang.
Program amal itu bermatlamat untuk membina platform kerjasama berterusan dengan organisasi dan komuniti yang terlibat, dan memperkasakan kesedaran bagi membantu individu dan keluarga yang kurang bernasib baik.
