PUTRAJAYA, 27 SEPT – Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) akan mengibarkan bendera kejohanan Hari Potensi KEMAS di puncak Gunung Kinabalu pada 1 Oktober ini sebagai tujuan promosi dan publisiti.
KEMAS dalam kenyataan hari ini memaklumkan ekspedisi yang diketuai Pengarah KEMAS Selangor, Mohd Ali Hanafiah Abu Hassan bersama 10 kakitangan akan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Jumaat ini, sebelum memulakan pendakian keesokan harinya dan dijangka tiba di puncak Gunung Kinabalu pada Ahad ini.
“Selain menjalankan aktiviti rekreasi yang mencabar ketahanan fizikal dan mental, ekspedisi ini juga membawa misi KEMAS Selangor untuk mencapai kejayaan di mata dunia dengan simbolik mengibarkan bendera KEMAS di puncak Gunung Kinabalu,” menurut kenyataan itu.
Simbolik penyerahan bendera Hari Potensi KEMAS disempurnakan oleh Ketua Pengarah KEMAS, Datuk Ahmad Kamal Idris Mohd Nawawi di sini hari ini sebagai tanda membawa semangat dan cita-cita seluruh warga jabatan itu untuk berusaha mencapai kejayaan dan keunggulan dalam kerjaya.
KEMAS akan menganjurkan Hari Potensi KEMAS Peringkat Kebangsaan pada 3 hingga 5 November ini di Dataran Kemerdekaan Shah Alam, Selangor.
Menurut KEMAS, program itu bakal menghimpunkan hampir 800 orang kanak-kanak Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) KEMAS dari seluruh negara yang bertanding dalam acara bakat seperti pertandingan Bilal Cilik, Ustazah Junior, pidato, bercerita, tarian dan Digital Hero.
“Setelah hampir 30 tahun pelaksanaan program Potensi KEMAS dengan pelbagai penambahbaikan yang telah dibuat bagi memastikan Hari Potensi KEMAS ini mencapai suatu prestij yang tersendiri serta melahirkan kanak-kanak yang cemerlang dari sudut akademik, sukan dan bakat,” menurut kenyataan itu. – Bernama