Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Ekspo kongsi maklumat pengajian tinggi

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 13 FEB – Sebanyak 34 buah institusi pengajian tinggi, agensi perkhidmatan pendidikan dan juga agensi-agensi kerajaan dan swasta menyertai Ekspo Pengajian Tinggi 2023 secara dalam talian yang bermula hari ini sehingga 16 Februari.

    Majlis pelancaran ekspo berkenaan telah diadakan di Dewan Serbaguna, Universiti Teknologi Brunei (UTB) dan disempurnakan oleh Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi) di Kementerian Pendidikan, Dr Haji Azman bin Ahmad selaku tetamu kehormat majlis.

    Majlis juga diselajurkan dengan perasmian laman web Jabatan Pengajian Tinggi iaitu Higher Education Hub (HE Hub).

    Pada majlis itu, Dr Haji Azman telah mengunjungi meja-meja maklumat bagi lapan institusi dan jabatan daripada 34 institusi dan agensi yang menyertai ekspo berkenaan.

    Antara yang dikunjungi adalah meja Jabatan Pengajian Tinggi, Universiti Brunei Darussalam (UBD), Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), UTB, Politeknik Brunei (PB), Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE), Jabatan Pengurusan Biasiswa dan Majlis Kebangsaan Pengiktirafan Kelulusan.

    Dr Haji Azman semasa merasmikan ekspo berkenaan.
    Dr Haji Azman semasa mengunjungi meja-meja maklumat.

    Antara yang hadir semasa majlis pelancaran ekspo berkenaan.

    Platform ekspo berkenaan berfungsi sebagai pusat maklumat mengenai pendidikan tinggi di Negara Brunei Darussalam dan sumber bagi penuntut-penuntut untuk mendapatkan maklumat mengenai perkembangan pendidikan di peringkat pengajian tinggi serta menyediakan garis pandu hala tuju pengajian tinggi bagi mereka.

    Ini merupakan kali ke-8 ekspo berkenaan diungkayahkan oleh Kementerian Pendidikan melalui Jabatan Pengajian Tinggi. Fokus utamanya adalah sebagai pusat informasi sehenti pengajian tinggi yang menggabungkan institusi-institusi daripada pengajian pasca menengah, pengajian tinggi awam dan swasta serta agensi-agensi sektor pendidikan dalam negara yang berkaitan di bawah satu platform bagi memberikan gambaran mengenai landskap pengajian pasca menengah dan pengajian tinggi yang terdapat di negara ini.

    Di samping itu, ia juga memberi peluang kepada orang ramai berinteraksi secara sembang langsung dan menghadiri persidangan video bersama institusi-institusi pengajian tinggi dan agensi-agensi sektor pendidikan.

    Ekspo berkenaan akan menyediakan landasan kepada orang ramai untuk mengetahui tentang pelbagai laluan ke pengajian tinggi dan prospek pendidikan yang sedia ada bagi Brunei Darussalam.

    Antara institusi-institusi pengajian tinggi awam Brunei yang menyertai ekspo berkenaan adalah UBD, UNISSA, UTB, PB dan IBTE.

    Manakala itu, institusi pengajian tinggi swasta yang turut serta adalah Kolej Perdagangan Laksamana (LCB), Kolej Perdagangan dan Teknologi Cosmopolitan (CCCT), Institut Kemuda, Brunei Darussalam Institute of Certified Public Accountants Academy Sdn Bhd (BICPA), Jerudong Park Medical Centre College of Health Sciences (JCHS) dan Kolej Pengajian Siswazah Antarabangsa (IGS).

    Ekspo turut disertai oleh tiga ins-titusi dari luar negara iaitu Centre for Technology Excellence, dan i-CATS University College, Sarawak, Malaysia; dan Gachon University, Republik Korea.

    Institusi-institusi tersebut akan menawarkan program-program, mengongsikan syarat-syarat kemasukan dan tatacara pendaftaran serta segala maklumat yang berkaitan dengannya.

    Di samping itu, ia juga akan memberigakan maklumat-maklumat terkini seperti Sistem Kemasukan Berpusat ke Pengajian Tinggi (HECAS), biasiswa-biasiswa kerajaan dan permohonan bagi mendapatkan pengiktirafan kursus atau kelulusan.

    Jabatan-jabatan di bawah kawalan Kementerian Pendidikan yang menyertai ekspo berkenaan adalah Jabatan Pengajian Tinggi, Jabatan Pengurusan Biasiswa, Majlis Kebangsaan Pengiktirafan Kelulusan, Jabatan Pengurusan Pendidik, Pusat Pembelajaran Sepanjang Hayat, Unit Kaunseling dan Unit Pendidikan Kerjaya (Jabatan Sekolah-sekolah) dan Pusat Keusahawanan Inovasi.

    Turut serta adalah Kedutaan Besar Jepun, Kedutaan Besar Republik Rakyat China, Sekretariat Tetap Manpower Planning and Employment Council (MPEC), Jabatan Perdana Menteri dan HRD Services, Syarikat Pakar Tenaga Bersatu Sdn Bhd, Mahkota Maju Sdn Bhd, Beyond Tomorrow, MEG Educational Services, Australian Trade and Investment Commission (Austrade), kumpulan syarikat Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB), Bank Baiduri; Hengyi Industries Sdn Bhd, dan Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd (BSP).

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...