Thursday, April 25, 2024
29.9 C
Brunei

    -

    Ekspo Pengajian Tinggi kembali lagi

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 JAN – Ekspo Pengajian Tinggi bakal kembali lagi buat kali ke-7 tahun ini yang akan berlangsung pada 5 hingga 11 Februari depan.

    Ekspo yang diadakan secara dalam talian berkenaan adalah sebagai landasan alternatif kepada ekspo bersemuka, bagi mematuhi garis panduan Kementerian Kesihatan dalam membendung penularan wabak COVID-19.

    Perkara berkenaan dijelaskan oleh Ketua Jabatan Pengajian Tinggi, Kementerian Pendidikan, Hajah Anis Faudzulani binti Haji Dzulkiflee selaku pengerusi Ekspo Pengajian Tinggi ke-7 pada sidang media yang berlangsung di Kementerian Pendidikan, hari ini.

    Beliau berkata, pada tahun ini, ekspo diungkayahkan oleh Kementerian Pendidikan yang mana ia memberi fokus utama untuk menjadi pusat informasi sehenti pengajian tinggi.

    Ekspo berkenaan dijangka akan menyatukan semua institusi pengajian pasca menengah, institusi-institusi pengajian tinggi awam dan swasta serta agensi-agensi sektor pendidikan dalam negeri yang berkaitan di bawah satu platform bagi memberikan gambaran mengenai landskap pengajian pasca menengah dan pengajian tinggi yang terdapat di negara ini.

    Hajah Anis Faudzulani memberikan penjelasan mengenai Expo Pengajian Tinggi kali ke-7 2022.

    Selain itu, ia bertujuan untuk mewujudkan ‘suasana’ seperti ekspo yang lalu iaitu secara bersemuka untuk memberikan peluang kepada orang ramai berinteraksi secara sembang langsung (live chat) dan persidangan video bersama pihak peserta ekspo.

    Di samping itu, jelasnya lagi, ekspo berkenaan turut memberigakan pelbagai laluan ke pengajian tinggi dan peluang-peluang pendidikan yang sedia ada di dalam negara.

    “Ia diharap akan dapat memudahkan pelajar-pelajar yang berhasrat untuk meninggi tahap pengajian dengan berinteraksi secara langsung bersama pihak institusi-institusi dan agensi-agensi pendidikan yang berkenaan,” jelasnya.

    Menurutnya lagi, setakat ini sebanyak 23 buah institusi pengajian tinggi, agensi perkhidmatan pendidikan dan juga agensi-agensi kerajaan dan swasta yang berkaitan akan menyertai ekspo tahun ini.

    Daripada jumlah itu, jelasnya, 13 adalah terdiri daripada institusi-institusi pengajian tinggi awam dan swasta dalam negara manakala 10 agensi kerajaan dan swasta dijangka menyertai ekspo tersebut.

    Institusi pengajian tinggi awam tempatan akan disertai oleh Universiti Brunei Darussalam (UBD), Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Universiti Teknologi Brunei (UTB), Politeknik Brunei (PB) dan Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE).

    Manakala itu, institusi pengajian tinggi swasta pula akan disertai oleh Kolej Perdagangan Laksamana (LCB), Kolej Pengajian Siswazah Antarabangsa (IGS), Kolej Perdagangan dan Teknologi Cosmopolitan (CCCT), Kolej Antarabangsa Micronet (MIC) dan Institut Kemuda, BICPA Accountancy Academy, Mahakarya Institute of the Arts Asia dan Kolej Teknologi HAD.

    Institusi-institusi tersebut akan memperkenalkan program-program yang akan ditawarkan, syarat-syarat kemasukan, tatacara pendaftaran dan segala maklumat yang berkaitan dengannya. Sementara Kementerian Pendidikan pula akan memberigakan maklumat-maklumat terkini yang berkaitan seperti Sistem Pusat Kemasukan ke Pengajian Tinggi (HECAS), biasiswa-biasiswa kerajaan, permohonan bagi mendapatkan pengiktirafan kursus atau kelulusan dan sebagainya.

    Kementerian Pendidikan akan diwakili oleh Jabatan Pengajian Tinggi, Jabatan Pengurusan Biasiswa, Majlis Kebangsaan Pengiktirafan Kelulusan, Jabatan Pengurusan Pendidik, Pusat Pembelajaran Sepanjang Hayat serta Unit Perkembangan Kerjaya, Jabatan Sekolah-sekolah.

    Selain itu, ekspo itu turut disertai oleh agensi-agensi kerajaan yang terdiri daripada Sekretariat Tetap Manpower Planning and Employment Council (MPEC), Jabatan Perdana Menteri dan Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama. Manakala itu, agensi-agensi perkhidmatan pendidikan pula akan disertai oleh Findlay (B) Sdn Bhd dan HRDS Education Services.

    Beberapa aktiviti juga akan diadakan semasa ekspo tersebut seperti webinar oleh beberapa institusi pendidikan dan persatuan tempatan secara dalam talian menerusi aplikasi Zoom.

    Ekspo dibukakan kepada orang awam, khususnya bagi lepasan menengah dan pra-universiti, iaitu Lepasan Brunei G.C.E. ‘O’ Level dan ‘A’ Level atau kelulusan yang sebanding dengannya, yang berhasrat untuk meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

    Sehubungan itu, orang ramai yang berhasrat untuk menyertai ekspo tersebut boleh membuat pendaftaran secara dalam talian melalui portal Ekspo Pengajian Tinggi di https://heexpo.moe.gov.bn mulai pada 29 Januari pukul 9 pagi.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...