Tuesday, February 25, 2025
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Elak ketegangan mata akibat skrin

    NEW YORK – Masalah mula timbul setiap hari sekitar jam 3 petang, selepas Cathy Higgins menghabiskan lima hingga enam jam menatap skrin komputer di mejanya. Pekerjaannya di universiti yang melibatkan penyeliaan projek penyelidikan memerlukannya memberi tumpuan pada angka serta butiran kontrak, permohonan dan bajet.

    “Penglihatan saya menjadi begitu kabur sehingga saya tidak dapat melihat apa yang ada di skrin dan saya mengecilkan mata sehingga tidak dapat berfungsi dengan baik,” kata Higgins.

    Apabila penglihatannya semakin teruk, Higgins akan berjalan-jalan dan berbual dengan ahli pasukannya. Dia juga mula merancang mesyuarat bersemuka pada sebelah petang.

    Namun, dia terpaksa menyambung kerja di komputer lewat malam selepas anak-anaknya tidur.

    “Jika saya terpaksa meneruskan kerja dengan penglihatan kabur, itulah saatnya saya mula mengalami migrain,” katanya.

    Otot yang membantu mata fokus boleh menyebabkan ketidakselesaan jika ia menjadi tegang apabila terlalu lama menatap skrin. – Freepik
    Fokuskan mata pada sesuatu yang berjarak kira-kira 20 kaki selama sekurang-kurangnya 20 saat untuk mengurangkan ketegangan mata. – Freepik

    Skrin digital kini ada di mana-mana – di tempat kerja, rumah, sekolah dan kedai. Menurut Persatuan Optometri Amerika, dianggarkan 104 juta rakyat Amerika dalam usia bekerja menghabiskan lebih tujuh jam sehari di hadapan skrin. Penggunaan skrin secara berlebihan boleh memberi kesan negatif.

    Terlalu banyak terdedah kepada skrin boleh menyebabkan mata kering atau berair, penglihatan kabur dan sakit kepala. Ia juga boleh menyebabkan rabun jauh (myopia), terutamanya dalam kalangan kanak-kanak. Malah, ada pekerja teknologi yang mengalami vertigo (rasa berpusing) apabila terlalu lama menatap skrin.

    MATA BEKERJA TERLALU KERAS

    Salah satu sebab ketidakselesaan ini ialah otot yang membantu fokus mata menjadi tegang apabila terlalu lama menatap skrin.

    “Otot itu tidak sepatutnya kekal tegang sepanjang hari. Jika ia berlaku, ia seperti mengangkat beban ringan dan cuba memegangnya di atas kepala selama berjam-jam,” kata Presiden Persatuan Optometri Amerika, Steven Reed. “Ia mungkin ringan pada mulanya, tetapi lama-kelamaan badan akan merasa letih.”

    Mujurlah, cahaya biru daripada skrin komputer dan peranti tidak menyebabkan kerosakan mata kekal, menurut Akademi Oftalmologi Amerika.

    Namun, gejala seperti sakit mata, sakit kepala dan penglihatan kabur boleh mengganggu kerja, masa bersama keluarga dan rehat. Reed, seorang optometris di Mississippi, menasihatkan pemeriksaan mata secara berkala dan mengambil rehat yang kerap.

    Bagi Higgins, mencuba untuk mengejar kerja yang tidak dapat disiapkannya ketika matanya terlalu letih menyebabkan masa hujung minggunya bersama anak-anak terjejas.

    “Mereka bermain bersama, tetapi saya tidak dapat melibatkan diri sepenuhnya,” katanya.

    Berikut adalah beberapa tip daripada pakar kesihatan mata untuk mengurangkan ketegangan mata akibat penggunaan peranti.

    GUNA PERATURAN 20-20-20

    Ambil rehat setiap 20 minit daripada melihat skrin. Ketika rehat, fokuskan mata pada sesuatu yang berjarak kira-kira 20 kaki (6 meter) selama 20 saat. Memberi peluang otot mata untuk berehat dapat membantu mengurangkan ketegangan.

    “Mujurlah, ketegangan mata hanyalah sementara,” kata Dr Raj Maturi, pakar oftalmologi di Midwest Eye Institute, Indianapolis. “Cara terbaik untuk mengelakkan gejala ini adalah dengan berehat daripada skrin atau kerja dekat, serta menggunakan titisan mata jika perlu.”

    Biasanya, manusia berkelip sebanyak 18 hingga 22 kali seminit. Namun, apabila menatap skrin, kadar ini menurun kepada hanya tiga hingga tujuh kali seminit, menurut Cleveland Clinic. Oleh itu, titisan mata boleh membantu mengurangkan kekeringan mata.

    Bergerak dan keluar rumah juga baik untuk mata, tetapi jika tiada masa, rehat pendek selama 20 saat boleh membantu.

    UBAH SUAI SUSUNAN MEJA

    Sebilangan orang mendapati penggunaan monitor komputer yang lebih besar dapat mengurangkan keletihan mata. Awda juga boleh meningkatkan saiz fon pada komputer riba, monitor atau telefon pintar.

    Higgins mengambil langkah ini selepas memulakan pekerjaan baharu sebagai naib presiden kanan di Stand Up to Cancer. Memandangkan dia bekerja dari rumah di Midlothian, Virginia, dia menggunakan monitor bersaiz 29 inci dan duduk kira-kira tiga kaki (sekitar satu meter) daripadanya, iaitu lebih jauh daripada kebanyakan susunan pejabat biasa.

    Perubahan ini membantu. Dia masih mengalami sedikit masalah penglihatan kabur, tetapi tidak sekerap dahulu. “Apabila saya bekerja selama 12 jam, barulah penglihatan saya mula terganggu lagi,” katanya.

    Menjauhkan diri kira-kira satu lengan dari skrin dan menyelaraskannya supaya sedikit ke bawah juga boleh membantu mengurangkan ketegangan mata, menurut Akademi Oftalmologi Amerika.

    BERHATI-HATI DENGAN DAKWAAN PRODUK

    Beberapa produk seperti cermin mata cahaya biru dipasarkan dengan tuntutan bahawa ia dapat mengurangkan ketegangan mata digital, meningkatkan tidur dan mencegah penyakit mata.

    Namun, beberapa kajian mendapati cermin mata ini tidak begitu berkesan, menurut Akademi Oftalmologi Amerika. Gejala yang dialami lebih berkaitan dengan cara kita menggunakan peranti digital, bukannya cahaya biru dalam jumlah kecil yang dipancarkan oleh skrin.

    PENGGUNAAN SKRIN LUAR KERJA

    Selepas meninggalkan komputer di tempat kerja, ramai orang masih menatap skrin telefon pintar untuk membaca atau melayari media sosial. Perkara yang sama berlaku kepada kanak-kanak, yang menggunakan komputer riba, tablet dan skrin pintar di sekolah sepanjang hari.

    Terlalu banyak masa skrin atau fokus pada objek dekat boleh mempercepatkan rabun jauh, terutamanya dalam kalangan kanak-kanak, kata Ayesha Malik, pakar optometri pediatrik di Hospital Kanak-kanak Philadelphia. Jika menonton rancangan, lebih baik menggunakan televisyen daripada tablet untuk mengurangkan ketegangan mata, katanya.

    Kanak-kanak disarankan mengikuti peraturan 20-20-20-2, iaitu tambahan ‘2’ yang bermaksud mereka perlu bermain di luar selama dua jam sehari untuk membantu perkembangan mata.

    “Kebanyakan kanak-kanak kini banyak terlibat dengan skrin di sekolah dan rumah, jadi sukar untuk mengesan jumlah jam sebenar,” kata Malik. “Sasaran terbaik ialah tidak lebih daripada 20 minit dalam satu sesi.”

    REHAT YANG MENCUKUPI

    Cahaya biru daripada skrin boleh meningkatkan kewaspadaan, jadi menonton Netflix di iPad atau melayari media sosial sebelum tidur boleh menyebabkan kesukaran untuk tidur lena.

    Bagi memberi mata dan otak rehat yang diperlukan, doktor mengesyorkan menutup skrin satu hingga dua jam sebelum tidur. Awda juga boleh menetapkan peranti ke mod gelap pada waktu malam untuk mengurangkan impak cahaya terang. Jika awda biasa menonton video sebelum tidur, cuba dengarkan buku audio atau podcast sebagai alternatif. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda