Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Elak tempat tak diiktiraf

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 MAC – Pendakap gigi bukanlah satu masalah kesihatan, ia hanyalah untuk memberikan kecantikan dan sepatutnya kerajaan tidak menyediakan pembiayaan pada perkhidmatan pendakap gigi.

    “Ganya ini tekeduhung ada sudah, jadi ia tidak akan ditambah kerana ia bukan satu kecemasan dan jika kita tidak membuat pun ia tidak akan membahayakan kesihatan.”

    Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar menekankan perkara itu ketika menjawab permasalahan yang dihadapi oleh orang ramai yang menunggu lama bagi mendapatkan perkhidmatan pendakap gigi yang ditimbulkan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Salleh bin Haji Othman.

    Walau bagaimanapun, Yang Berhormat Menteri Kesihatan telah menekankan mengenai membuat pendakap gigi di tempat yang tidak diiktiraf.

    “Itu berbahaya. Jika mahu muka yang lawa, mesti sayangkan nyawa. Beberapa insiden sudah yang datang ke Kementerian Kesihatan yang mana ia memburukkan kesihatannya,” ujar beliau.

    Yang Berhormat Dato menjelaskan, sebelum membuat pendakap gigi, kesihatan gigi sepatutnya diperiksa dahulu.

    “Maksudnya pandaikah seseorang itu menjaga giginya, rajin kah dia memberus gigi, rajin kah dia floss gigi, dan bersih. Jika giginya masa ini tidak bersih, hendak mendapatkan pendakap gigi yang mempunyai segala besi-besi dan mencucinya lagi membuatkan orang itu malas,” tekan beliau.

    Menurut beliau lagi, jika seseorang itu mempunyai pendakap gigi tetapi tidak ada penjagaan gigi yang baik, seseorang itu akan dijangkiti kuman dan kuman itu kalau nasib tidak baik akan menyerang ke jantung.

    “Kalau jantung itu ke arah injap, ia akan bocor dan (seseorang itu) akan mengalami sepsis dan sebagainya,” jelasnya lagi.

    Perkara tersebut, tegas beliau, bukanlah satu masalah yang ringan. Pembedahan jantung menjadi satu masalah, waktu pembedahan juga perlu dibuat secepatnya sebab jika kuman dibiarkan ia akan membuatkan injap semakin hancur dan menjangkiti ke injap di sebelahnya.

    “Kalau ini terjadi, kematian yang boleh dialami semasa pembedahan, biasanya 0.1 peratus boleh meningkat ke 40 hingga 50 peratus. Kalau 100 orang menjalani pembedahan, 50 orang yang meninggal di dalam bilik bedah, ia tidak baik hanya untuk mendapatkan
    gigi yang lawa,” tekan Yang Berhormat Dato.

    Katanya lagi, jika seseorang itu mahukan gigi yang cantik, hendaklah dia menjaga kesihatan gigi dengan baik dan pergi ke tempat-tempat yang diiktiraf di dalam atau di luar negeri.

    “Ini ada didapati orang (yang membuat pendakap gigi) di rumah-rumah, di hotel-hotel dan sebagainya. Di sini saya mengambil kesempatan jua, jika orang ramai yang mengetahui perkara berikut untuk menghubungi Kementerian Kesihatan untuk melapornya,” seru beliau.

    Di hujung penjelasannya, Yang Berhormat Dato menekankan bahawa masalah pendakap gigi bukan sesuatu yang diambil ringan kerana ia boleh membunuh jika tidak dibuat dengan baik.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda