Sunday, June 4, 2023
27 C
Brunei

    -

    Elemen penilaian baiki sistem pembelajaran

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 3 MEI – Sejak pelaksanaan Sistem Pendidikan Negara Abad ke-21 (SPN21), beberapa elemen penilaian pelajar telah diperkenalkan apabila baru-baru ini, Kementerian Pendidikan mengambil kecenderungan dalam penilaian pelajar antarabangsa dan sumbangan kepada perancangan serta penyelidikan pendidikan.

    Ia telah mencetus minat global dan peralihan kepada penilaian yang boleh menyediakan ukuran yang lebih terperinci demi pembelajaran pelajar bagi pembaikan sistem yang meluas.

    Dalam hubungan itu, pemimpin sekolah dan guru harus mengenali bahawa data daripada penilaian mempunyai potensi bukan sahaja untuk mengetengahkan hasil pembelajaran pelajar tetapi data penilaian yang sah dan boleh dipercayai dapat memberikan pandangan mengenai apa dan bagaimana pelajar diajar.

    Perkara itu dinyatakan oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh dalam ucapannya semasa Konvensyen Pemimpin-pemimpin Sekolah 2023 yang berlangsung di Dewan Persidangan Bridex, Jerudong, hari ini.

    Dalam usaha berterusan bagi menjana kepimpinan pendidikan yang efektif, ulas Yang Berhormat Datin, penekanan untuk mempromosikan dan mengetengahkan Keberkesanan Kolektif amat dihargai.

    Yang Berhormat Menteri Pendidikan semasa menyampaikan ucapannya di Konvensyen Pemimpin-pemimpin Sekolah 2023 di Dewan Persidangan Bridex, Jerudong.
    Antara yang menghadiri Konvensyen Pemimpin-pemimpin Sekolah ke-5, 2023 di Dewan Persidangan Bridex, Jerudong, kelmarin.

    Keberkesanan Kolektif merupakan kepercayaan bersama bahawa menerusi tindakan kolektif, kita mampu untuk mempengaruhi hasil pelajar dan meningkatkan pencapaian bagi semua pelajar.

    “Ia merupakan ciri organisasi penting kita untuk menangani perubahan dan cabaran sistemik secara koheren dalam mencapai matlamat kementerian kita,” jelas Yang Berhormat Datin lagi.

    Terdahulu dalam ucapannya, beliau menyatakan bahawa Konvensyen Pemimpin Sekolah memberikan peluang kepada para pemimpin untuk belajar daripada satu sama lain dan bekerjasama bagi menjana penyelesaian inovatif untuk menambah baik sistem pendidikan kita.

    Ia juga merupakan sebuah platform di mana pemimpin-pemimpin sekolah dan sistem boleh berhubung antara satu sama lain, berkongsi idea untuk menerokai strategi, inisiatif, kemahiran, pengetahuan dan peralatan baharu yang boleh memberikan hasil pembelajaran pelajar yang lebih baik serta memberikan peluang kepada para peserta untuk menjana rangkaian untuk berusaha ke arah matlamat bersama.

    Pada masa yang sama, Yang Berhormat Datin turut menyatakan penghargaan kepada Pusat Teknologi Pendidikan dan semua pihak yang menyumbang kepada Garis Panduan Blended Learning, MOE TV dan Sistem Pengurusan Sumber-sumber Digital (DRMS).

    Beliau menyatakan harapan supaya sumber-sumber berkenaan dapat dimanfaatkan dengan baik oleh pemimpin-pemimpin sekolah dan guru-guru serta garis panduan berkenaan dapat memperkasakan pemimpin sekolah dan guru dalam menerima pakai pendekatan pedagogi yang baharu.

    Di samping itu, beliau juga mengambil maklum akan dedikasi pemimpin sekolah dan guru-guru dalam melaksanakan dan mengembangkan penggunaan Blended Learning serta integrasi teknologi ke dalam pengajaran, pembelajaran dan pengurusan sekolah.

    “Ia adalah sokongan awda yang telah dan dapat terus membuat impak yang positif dalam sekolah-sekolah kita,” tambah beliau.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    Kerja menyelamat kemalangan kereta api korbankan lebih 300 orang ditamatkan

    BALASORE, 4 JUN - Selepas kerja menyelamat selesai, pihak berkuasa mula membersihkan serpihan dua kereta api penumpang yang tergelincir di timur India, membunuh lebih...
    - Advertisment -