Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Empangan hidroelektrik jana bekalan elektrik Sabah

    TENOM, 7 DIS – Projek Empangan Hidroelektrik Ulu Padas di sini yang akan menjana 187.5 megawatt tenaga elektrik apabila dijangka siap pada 2029, merupakan penyelesaian jangka panjang dan mampan kepada masalah bekalan tenaga elektrik di Sabah.

    Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata ini kerana empangan hidroelektrik itu akan menyumbang penambahan bekalan sebanyak 15 peratus kepada grid tenaga elektrik di Sabah yang merupakan sebuah penambahan signifikan.

    Beliau berkata satu kajian juga sedang dijalankan bagi meneroka keupayaan empangan itu yang berpotensi membekalkan aliran air bersih dan stabil kepada pengguna hingga 6,000 juta liter sehari di negeri ini.

    “Ia penting sebagai penyumbang utama kepada campuran tenaga boleh diperbaharui, Empangan Hidroelektrik Ulu Padas dijangka boleh memenuhi peningkatan permintaan tenaga elektrik Sabah pada masa hadapan apabila siap nanti.

    “Bukan sahaja memenuhi peningkatan permintaan tenaga kita, tetapi juga kritikal untuk pembangunan (industri) minyak dan gas Sabah, juga Taman Perindustrian Kota Kinabalu, sekali gus memacu pertumbuhan ekonomi negeri,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian pecah tanah empangan itu di sini hari ini.

    Majlis itu disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan turut dihadiri Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali serta Pengerusi Sabah Energy Corporation Sdn Bhd (SEC), Datuk Annuar Ayub. – Bernama

    Datuk Seri Anwar Ibrahim mengendalikan jengkaut sebagai simbolik pecah tanah projek Empangan Hidroelektrik Ulu Padas, kelmarin. – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...