Friday, October 18, 2024
28.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Empat anak yatim terima biasiswa ikuti Program BIBD ALAF

    Oleh Yusrin Junaidi – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 JUN – Empat orang anak yatim telah terpilih menerima Biasiswa Anak Yatim bagi Tahun Akademik 2023 dan 2024 daripada Kementerian
    Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) melalui Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) untuk mengikuti Program BIBD ALAF dengan dibiayai melalui dana Tabung Anak-anak Yatim.

    Sehubungan itu, majlis penyampaian surat lantikan bagi program berkenaan telah diadakan hari ini di Bilik Kunjungan, Bangunan KKBS dan disempurnakan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad.

    Program Biasiswa Anak Yatim merupakan salah satu inisiatif KKBS yang telah bermula sejak 7 Februari 2022 dengan hasrat untuk meningkatkan impak serta objektif Tabung Anak-anak Yatim di bawah kendalian JAPEM, di mana sumbangan derma daripada orang ramai juga akan disalurkan bagi membiayai pembelajaran melalui Program BIBD ALAF sehingga tamat peperiksaan O Level.

    Menurut kenyataan KKBS, setakat ini, enam orang pelajar telah terpilih di bawah program berkenaan untuk membantu mereka berjaya dalam pelajaran dan seterusnya menjadi insan yang dapat membantu dan meningkatkan lagi taraf kehidupan keluarga mereka.

    Bagi tahun akademik 2023, dua orang pelajar Tahun 8 telah terpilih iaitu Dayang Sri Syahzani Shah Ruddin Shah @ Faiqah dari Sekolah Menengah Sultan Muhammad Jamalul Alam dan Awang Arsyad Afiq bin Aiman Kollane dari Sekolah Menengah Pengiran Jaya Negara Pengiran Haji Abu Bakar.

    Manakala itu, bagi tahun akademik 2024, dua orang pelajar yang terpilih ialah Dayang Mikha Joshlynn binti Idris, pelajar Tahun 5 dari Sekolah Rendah Awang Haji Mohd Yusof, Katimahar dan Dayang Nur Nabilah Syauqina binti Sapree, pelajar Tahun 10 dari Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha.

    Turut hadir pada majlis itu ialah Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan) di KKBS, Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari; Pemangku Pengarah JAPEM, Dayang Fauziah binti Haji Mohd Salleh selaku pengerusi majlis serta pegawai-pegawai kanan daripada KKBS dan JAPEM.

    Dalam pada itu, KKBS sukacita merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas sumbangan dan derma orang ramai untuk Tabung Anak-anak Yatim.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bergambar ramai bersama para penerima biasiswa dan ibu serta penjaga mereka pada majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi menyampaikan surat lantikan kepada salah seorang penerima biasiswa. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda