Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Empat bot tempur perkasa maritim Sabah

    KOTA KINABALU, 2 FEB – Empat bot tempur Fast Interceptor Craft (FIC) G2000 Mk II yang diterima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) hari ini akan mengukuhkan lagi keselamatan maritim di Sabah terutama di kawasan pantai timur negeri itu.

    Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyaksikan penyerahan itu hari ini antara Pengarah Urusan Gading Marine Industry (M) Sdn Bhd, Datuk Jamalolail Mohd Yatim dan Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob.

    Abdul Rahman ketika berucap pada majlis penyerahan di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu, Sepanggar berkata pembinaan FIC itu melibatkan tiga fasa dengan yang pertama membabitkan empat FIC diterima hari ini dan TLDM akan menerima keseluruhan 13 FIC secara berperingkat.

    Beliau berkata berdasarkan Konsep Operasi (CONOP), bot tempur FIC itu berperanan sebagai elemen sokongan pertahanan maritim kepada TLDM dalam meningkatkan keupayaan pengawasan dan pintasan terutamanya di perairan cetek dan berpulau.

    “FIC ini juga akan digunakan bagi menyokong operasi menangani ancaman bukan tradisional dan asimetrik dengan lebih efektif. Ancaman bukan tradisional seperti jenayah rentas sempadan, penyeludupan, pemerdagangan manusia, rompakan di laut dan pelanunan membayangi keselamatan perairan negara.

    “FIC ini direka khas dengan ciri kecekapan, kelajuan dan ketepatan bagi membolehkan TLDM bertindak dengan pantas dalam mencegah aktiviti sebegini berlaku di dalam perairan negara kita,” katanya. – Bernama

    Kapal FIC G2000 Mk ll yang diserahkan kepada Pangkalan TLDM Kota Kinabalu. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda