Monday, May 12, 2025
25.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Empat mualaf juara musabaqah Al-Quran

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 JUN – Empat orang mualaf terdiri daripada lelaki dan perempuan akan mewakili Daerah Brunei dan Muara dalam kategori masing-masing, untuk Musabaqah Murattal Al-Quran dan Menghafaz Ayat-ayat Lazim bagi Mualaf Peringkat Negara setelah muncul juara di peringkat daerah hari ini.

    Awang Muhammad Saiful Dafi bin Muhammad Suhaimi @ Suanddy bin Suhaimi, Dayang Siti Nur Afiqah binti Muhd Asnawi @ Bong Yick Mei, Haji Muhammad Nabil Hakim bin Haji Muhammad Nabil Hafizzuddin @ Alexson anak Ampeling dan Dayang Siti Nur Syahirah binti Muhd Asnawi @ Bong Yick Hwan @ Vanessa Anne Bong masing-masing muncul johan bagi peserta lelaki dan perempuan dalam Musabaqah Murattal Al-Quran dan Menghafaz Ayat-ayat Lazim bagi Mualaf Peringkat Daerah anjuran Pusat Dakwah Islamiah (PDI di Dewan Persidangan, PDI.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penyampaian hadiah dan sijil kepada para pemenang dan peserta musabaqah pada sebelah petang ialah Pengarah PDI, Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd Salleh.

    Haji Abdul Rajid dalam ucapan khasnya berkata, “Musabaqah seperti ini bukan sahaja berfungsi sebagai wadah untuk bertanding akan tetapi untuk menghayati inti sari pengajaran yang dibawa oleh Al-Quran supaya dapat dijadikan panduan hidup.”

    Beliau turut menambah, musabaqah itu juga akan dapat memajukan lagi bidang pembelajaran pembacaan Al-Quran di negara ini sekali gus dapat melahirkan golongan mualaf yang dekat dengan Al-Quran, yang hidupnya berpandukan kepada Al-Quran dan tutur bahasa dan tindak tanduknya berlandaskan kepada ajaran-ajaran Al-Quran yang mulia.

    Salah seorang peserta yang menyertai pertandingan tersebut memperdengarkan bacaan pada acara yang berlangsung di Dewan Persidangan, PDI.
    Haji Abdul Rajid semasa menyampaikan ucapan pada majlis tersebut.
    Salah seorang peserta memperdengarkan bacaan dalam Musabaqah Murattal Al-Quran dan Menghafaz Ayat-ayat Lazim bagi Mualaf Peringkat Daerah anjuran PDI, kelmarin.

    Seramai 27 orang mualaf dari Daerah Brunei dan Muara telah mengikuti sesi uji cuba yang diadakan pada 16 April lalu di Dewan Serbaguna PDI dan 19 peserta yang terdiri daripada lima orang peserta lelaki dan lima orang peserta perempuan bagi kategori Murattal Al-Quran serta empat orang peserta lelaki dan lima orang peserta perempuan bagi kategori Menghafaz Ayat-ayat Lazim telah layak mengikuti pertandingan peringkat Daerah Brunei dan Muara, hari ini.

    Dalam pertandingan tersebut, peserta lelaki bagi kategori Murattal Al-Quran telah memperdengarkan bacaan Surah Al-Mukminun dan Surah An-Nur sementara itu, Surah Al-Isra’ dan Surah Yunus bagi peserta perempuan.

    Bagi kategori Menghafaz Ayat-ayat Lazim pula, para peserta lelaki memperdengarkan hafazan bagi Surah Adh-Dhuha, Surah At-Tin, Surah Al-‘Adiat dan Surah Asy-Syarh sementara peserta perempuan pula Surah Al-Maun, Surah At-Takasur, Surah Az-Zalzalah dan Surah Al-Humazah, serta bacaan-bacaan wajib dalam sembahyang.

    Johan bagi setiap kategori tersebut akan mewakili Daerah Brunei dan Muara untuk mara ke musabaqah peringkat negara seterusnya.

    Objektif utama pertandingan adalah untuk menggalakkan para mualaf agar sentiasa membaca dan memahami isi kandungan Al-Quran dengan lebih mendalam.

    Di samping itu, ia juga untuk melahirkan mualaf yang berlumba-lumba bagi meraih ilmu daripada Al-Quran dan seterusnya memperkasa pembacaan dan penghafazan ayat-ayat Al-Quran serta menjadikannya sebagai amalan seharian.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda