Oleh Ak Zaki Kasharan
Gambar oleh Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 OGOS – Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1443 Hijrah/2022 Masihi diteruskan lagi hari ini dengan tiga orang qari dan tiga qariah memperdengarkan bacaan masing-masing di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.
Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan berangkat pada hari kedua musabaqah berkenaan.
Keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia dijunjung oleh Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Yang Amat Mulia Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris; Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman selaku pengerusi jawatankuasa tertinggi musabaqah; Ketua Hakim Syarie, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar dan Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohd Tashim bin Pengiran Haji Hassan berserta ahli-ahli jawatankuasa tertinggi musabaqah.
Majlis dimulakan dengan bacaan surah Al-Fatihah beramai-ramai yang dipimpin oleh Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Paduka Setia Raja Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Suhaili bin Haji Mohiddin.
Kemudian, musabaqah dimulakan dengan bacaan Al-Quran oleh tiga qari iaitu, Haji Awang Muhammad Fikri bin Haji Awang Metussin, Haji Hazwan bin Haji Salim dan Awang Muhammad Zul-Hafiz bin Awang Tengah serta tiga orang peserta qariah iaitu Dayang Siti Zahrina binti Haji Abdul Wahab, Hajah Nurhapidzah binti Haji Hassan, dan Dr Hajah
Siti Wardah binti Mejar (B) Haji Abdul Rahman.
Duli Yang Teramat Mulia berangkat meninggalkan majlis setelah selesai bacaan oleh para peserta.
Majlis akan disambung esok dengan majlis pengumuman keputusan bagi menentukan johan qari dan qariah di tempat yang sama bermula pukul 7:30 malam.