LOS ANGELES, 11 JAN – Harris English melakukan birdie dari jarak enam kaki dalam aksi playoff untuk menewaskan pemain Chile, Joaquin Niemann sekali gus muncul juara Kejohanan PGA Amerika Syarikat (PGA AS) untuk menamatkan kemarau kemenangan selepas lapan tahun.
Pemain Amerika berusia 31 tahun itu berjaya merangkul gelaran ketiga PGA selepas memenanginya pada 2013 di Mayakoba Classic dan St. Jude Classic dan kini melonjak kedudukannya ke ranking 17 dunia.
“Ia luar biasa,” kata English. “Banyak kerja keras telah saya lakukan selama ini. Anda tidak pernah terfikir saya akan sampai ke sini lagi. Sukar untuk menang di sini.
“Saya mempunyai peluang minggu ini. Saya merasa seronok dengan permainan saya. Anda mesti menyelesaikan tugas itu,” katanya.
English membuat pukulan empat bawah par 69 pada hari terakhir untuk menyertai Niemann yang merekodkan 25 bawah 267 selepas 72 lubang di padang golf Plantation Kapalua, Hawaii.
Pemain ke-43 dunia, Niemann, 22, melakukan enam birdie pada sembilan lubang pertama namun gagal dalam usahanya untuk meraih trofi PGA kedua selepas memenanginya pada 2019 di Greenbrier.
“Ini adalah keputusannya tetapi saya tetap gembira,” kata Niemann. “Saya bermain dengan baik sepanjang minggu terutama hari ini. Ia adalah satu pusingan terbaik saya.”
English layak beraksi di kejohanan itu kerana jemputan khas kepada pemain yang layak beraksi dalam siri Jelajah Kejuaraan 2020 musim lalu dipendekkan berikutan pandemik COVID-19.
“Kejohanan ini ada pasang surut kejap di atas kejap di bawah tetapi itu menjadikan pertandingan hari ini lebih manis. Sangat mengagumkan untuk mendapatkannya,” kata English
“Itu bukan sesuatu yang mudah,” kata Niemann. “Saya ketinggalan di belakang dan agak tertekan. Saya memberi peluang kepada diri sendiri, tetapi saya tidak dapat melakukannya.” – AFP
