SAN FRANCISCO, 12 NOV – Sidang Minggu Pemimpin Ekonomi APEC 2023, yang telah bermula di sini akan menyaksikan pemimpin, menteri-menteri dan para pegawai meneruskan kewajipan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) merentasi pelbagai bidang dasar pada tahun ini termasuk pemudahcaraan perdagangan dan pelaburan, ekonomi digital, tenaga bersih dan iklim, kesihatan, keadilan dan kesaksamaan gender serta antirasuah dan keterjaminan makanan.
Sidang itu dihoskan oleh Amerika Syarikat (AS) dan dipengerusikan oleh Presiden Joe Biden di bawah tema Mewujudkan Masa Depan yang Berdaya Tahan dan Mampan untuk Semua, berpandukan kepada tiga keutamaan pada tahun ini iaitu saling berkaitan, inovatif dan inklusif.
“Penganjuran APEC pada tahun ini memberi peluang kepada AS untuk membentuk dasar perdagangan dan memacu pertumbuhan ekonomi di rantau Asia Pasifik yang pesat, yang mewakili hampir 40 peratus daripada populasi dunia, hampir separuh daripada perdagangan global dan lebih 60 peratus daripada ekonomi global,” kata Pegawai Kanan AS untuk APEC, Duta Besar Matt Murray dalam satu kenyataan.
Beliau berkata perbincangan mengenai perdagangan dan pelaburan ini menekankan peranan strategik APEC dalam kerjasama ekonomi anggota berikutan forum ini kekal sebagai platform utama untuk memacu dasar ekonomi dan perdagangan, menggalakkan idea yang inovatif dan menyokong perniagaan, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS). – Bernama
