Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Eric Peris ikon fotografi Malaysia

    KUALA LUMPUR – “Jika awda terlepas cerita, awda masih boleh mendapatkannya kembali, tetapi jika awda terlepas gambar, habislah,” ungkap jurugambar veteran, O Don Eric Peris, 85, mengimbau kembali nasihat editor majalah Fanfare di Singapura yang bertanggungjawab mencungkil bakatnya dalam bidang fotografi. 

    Anak jati Johor Bahru itu menyertai majalah Fanfare di Singapura pada 1950an sebagai wartawan foto sebelum berpindah ke Kuala Lumpur dan bertugas dengan akhbar New Straits Times dari 1970an sehingga bersara pada 1994.

    “Saya meminati bidang fotografi sejak berusia 12 tahun selepas ibu saudara menunjukkan sebuah kamera. Saya sangat teruja, tetapi ayah berpesan, saya perlu utamakan pelajaran terlebih dahulu.

    “Bagaimanapun, sebagai tanda sokongan, ayah tetap membelikan sebuah kamera untuk saya. Namun, saya sedar minat sahaja tidak cukup, sebaliknya saya perlu berada dalam industri dan merasainya sendiri,” katanya.

    Beliau ditemui selepas majlis pelancaran “Pameran Arkib: Eric Peris” yang dirasmikan Pengerusi Yayasan Sutra Datuk Ramli Ibrahim di Balai Seni Negara Malaysia, baru-baru ini.

    O Don Eric Peris (dua, kiri) bersama Pengerusi Yayasan Sutra Datuk Ramli Ibrahim (kiri) melawat tapak pameran. – Bernama
    Gambar Bernama
    O Don Eric Peris bergambar bersama sebahagian hasil karyanya yang dipamerkan pada ‘Pameran Arkib: Eric Peris’ di Balai Seni Malaysia. – Bernama
    Gambar Bernama
    Sebahagian hasil karya jurugambar veteran O Don Eric Peris sempena ‘Pameran Arkib: Eric Peris’ di Balai Seni Negara Malaysia. – Bernama

    Pameran itu merupakan usaha dokumentasi komprehensif Balai Seni Negara dalam menyoroti perjalanan seni Eric sekali gus mengiktiraf hasil karyanya dalam seni rupa halus serta fotografi jurnalistik di negara itu.

    Ia memuatkan lebih 100 himpunan arkib dokumen, keratan akhbar, brosur serta karya seni daripada koleksi peribadi figura itu dan koleksi seni visual negara, yang berlangsung di Galeri Potret Negara Malaysia, Balai Seni Negara Malaysia sehingga Mei depan.

    Walaupun tiada pendidikan formal dalam bidang fotografi, Eric terkenal dengan penghasilan gambar hitam putih dan wartawan foto veteran itu menyifatkan imej monokromatik itu sebagai sesuatu yang misteri dan mempunyai daya penarik tersendiri.

    “Kalau imej berwarna, kita sudah tahu kesemua rupa bentuk sesuatu imej. Tapi, jika dalam filem hitam putih, kita perlu memberikan perhatian kepada bentuk dan reka bentuk dan itulah yang membuatkan saya lebih teruja,” katanya yang gemar merakam keindahan alam semula jadi.

    Menurutnya, menjadi jurugambar bukan sahaja menuntut kesabaran tinggi tetapi juga memerlukan latihan berterusan mengambil gambar sebagai usaha meningkatkan lagi kemahiran fotografi.

    “Ambil apa sahaja gambar di tempat paling mudah contohnya gambar pokok, sungai atau jalan raya. Paling penting mesti tahu tujuan kita ambil gambar kerana itulah pendidikan sebenar dan itulah guru awda, bukan hanya dalam buku,” katanya sambil memberitahu jurugambar juga perlu menghormati budaya dan adat resam di sesuatu lokasi itu.

    Eric berkata perkara paling asas ketika merakam gambar adalah imej itu sendiri dan bukan bergantung kepada kamera yang digunakan sama ada jenis kamera analog mahupun digital.

    “Sama ada (kamera) itu analog atau digital, ia tiada perbezaan besar, apa yang paling penting ialah imej dan ia bergantung kepada mata kita sendiri.

    “Adakah kita dapat merakam gambar yang betul? Adakah ia (gambar) menegak atau mendatar? Keputusan itu datang daripada diri kita sendiri,” katanya yang menjadikan ibu bapanya sebagai sumber inspirasi dalam meminta nasihat dan bimbingan.

    Lebih empat dekad bergelar wartawan foto, Eric menghasilkan pelbagai esei foto dan menulis artikel tentang fotografi seterusnya mengadakan pameran foto pertamanya pada 1982 dan sehingga kini sudah mengadakan 43 pameran foto secara solo.

    Antara karya agungnya adalah Windows Series No 1, Rupa #7, Images of Gitanjali, Malayan Railway, Pintu Masuk dan Keluar, Ibu Renang, Light and Shadow, Mek Jah In Main Petri, Dance Of Forever, Larry’s Tao Of Physics, Malayan Tin Mine dan Rural Malaya. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...