Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Siapa boleh menerima manfaat waqaf?

    Sambungan minggu lepas

    Adapun syarat penerima manfaat waqaf sama ada individu mahupun kumpulan yang ditentukan ini hendaklah dia atau mereka itu boleh memiliki manfaat wakaf tersebut ketika pewakaf melafazkan sighah waqafnya.

    Oleh yang demikian, tidak sah seseorang berwaqaf kepada pihak yang tidak wujud seperti seseorang berwaqaf barang kepada masjid: “Aku berwaqaf ini untuk masjid itu”, sedangkan masjid tersebut tidak wujud atau baru hendak dibina. Begitu juga tidak sah berwaqaf kepada seseorang yang tidak wujud seperti seseorang berwaqaf kepada anaknya: “Aku berwaqaf ini kepada anak-anakku”, sedangkan dia tidak mempunyai anak. Ataupun dia berwaqaf kepada anaknya yang belum lahir. Sebagai contoh: “Aku berwaqaf ini kepada anakku yang akan lahir”. Ataupun dia berwaqaf kepada anak-anaknya yang fakir: “Aku berwaqaf ini kepada anak-anakku yang fakir”, sedangkan dia tidak mempunyai anak-anak yang dalam keadaan fakir. Walau bagaimanapun, jika anak-anaknya fakir atau sebahagian daripada mereka ada yang fakir, maka sah waqaf tersebut dan diserahkan kepada siapa yang fakir dari kalangan mereka.

    Begitu juga tidak sah seseorang berwaqaf kepada dirinya sendiri kerana tiada faedah baginya untuk melakukan sedemikian (berwaqaf untuk dirinya sendiri). Akan tetapi jika dia berwaqaf, umpamanya, kepada orang-orang fakir ataupun kepada golongan ulama, kemudian selepas itu dia menjadi salah seorang daripada orang-orang fakir itu atau salah seorang daripada golongan ulama itu, maka sah waqafnya itu dan dia pula boleh menerima sama manfaat daripada waqaf tersebut kerana tujuannya berwaqaf adalah untuk kumpulan bukan untuk dirinya sendiri. Begitu juga jika seseorang berwaqaf dengan berkata: “Aku berwaqaf buku-buku ini untuk bacaan kaum Muslimin”. Dalam hal ini dia juga boleh turut membaca buku yang diwaqafkannya itu kerana dia juga adalah salah seorang daripada mereka.

    Menyebut mengenai pemilikan manfaat barang yang diwaqaf, tidak sah seseorang berwaqaf kepada janin atau kepada orang yang sudah mati, kerana keduanya tidak boleh memiliki manfaat waqaf.

    Selain itu tidak sah juga seseorang berwaqaf kepada orang yang tidak diketahuinya seperti seseorang berwaqaf kepada seseorang yang tidak ditentukannya atau berwaqaf kepada orang yang dipilih atau ditentukan oleh orang lain, sedangkan pewaqaf tidak mengetahui siapa penerima waqaf itu. Ini kerana waqaf adalah pemilikan yang perlu disegerakan pemilikannya kepada penerima manfaat waqaf. Maka ini tidak akan berlaku jika penerima manfaat waqaf tidak diketahui.

    Gambar Freepik

    Sama juga halnya jika pewaqaf tidak menentukan salah satu di antara dua pihak penerima manfaat waqaf. Sebagai contoh, seseorang berwaqaf kepada salah seorang daripada dua lelaki atau salah sebuah daripada dua masjid (tanpa menyebut nama salah satu daripada keduanya). Maka yang sedemikian tidak sah waqafnya kerana waqaf adalah pemilikan yang tidak bertangguh dan wajib ditentukan pemiliknya (penerima manfaat waqaf).

    Dalam perkara penerima waqaf ini juga, sah seorang muslim berwaqaf kepada orang dzimmi (orang bukan Islam yang mendapat perlindungan dan tinggal di negara Islam) yang ditentukannya. Dan sah hukumnya waqaf orang dzimmi kepada orang dzimmi lain yang ditentukannya, seperti juga dalam hukum pemberian sedekah sunat kepada mereka.

    Dengan syarat, waqafnya itu bukan bermaksud untuk membantu atau menolong kepada perkara maksiat dan hendaklah ia merupakan sesuatu yang boleh mereka miliki atau mereka manfaatkan. Oleh sebab itu, berwaqaf al-Qur’an atau kitab-kitab ilmu syara‘ kepada mereka adalah ditegah.

    Begitu juga sah waqaf seseorang kepada kafir mu‘ahad (orang bukan Islam yang membuat perjanjian damai dengan orang Islam) atau kafir musta’man (orang bukan Islam yang masuk ke negara Islam untuk bekerja dan mendapatkan jaminan keamanan daripada pemerintah Islam) selama mana mereka berada di negara Islam. Ini kerana hukum waqaf bagi mereka ini sama seperti orang dzimmi.

    Walau bagaimanapun tidak sah seseorang berwaqaf kepada kafir harbi (orang bukan Islam yang memerangi Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan RasulNya) dan orang murtad (orang yang keluar daripada agama Islam) kerana mereka ini tidak diakui dalam keadaan keduanya berterusan sedemikian.

    KEDUA: PENERIMA MANFAAT WAQAF YANG TIDAK DITENTUKAN

    Penerima manfaat waqaf yang tidak ditentukan ialah penerima yang hanya dinamakan mengikut kategori seperti berwaqaf kepada masjid-masjid, orang-orang fakir, para ulama, para penuntut ilmu, orang-orang miskin, orang-orang yang mengerjakan haji, para mujahidin, para guru dan yang selainnya.

    Disyaratkan berwaqaf kepada pihak yang ditentukan melalui kategori ini hendaklah ianya bukan untuk perkara maksiat atau perkara yang membawa kepada keburukan. Ini kerana waqaf disyariatkan bertujuan menolong ke arah kebaikan bukan sebaliknya dan paling utama tujuan waqaf itu disyariatkan adalah untuk mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Ta‘ala.

    Berwaqaf kepada pihak-pihak yang jelas di dalamnya bentuk qurbah (mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala) seperti berwaqaf kepada masjid-masjid, orang-orang fakir, para ulama, ahli qura’ (pembaca-pembaca al-Qur’an), para guru, untuk (fasilitas) ka‘bah, untuk hospital-hospital atau jambatan-jambatan, untuk keperluan pengkafanan mayat, untuk bantuan para penggali kubur dan para penggapai (yang memandikan mayat) dan yang seumpamanya hukumnya adalah sah. Berwaqaf kepada pihak-pihak seperti di atas amat digalakkan dan pewaqafnya akan diberi ganjaran dan pahala kerana waqafnya itu.

    Adapun berwaqaf kepada pihak-pihak yang tidak jelas di dalamnya bentuk qurbah juga dibolehkan selama mana waqaf tersebut bukan untuk perkara maksiat, seperti seseorang berwaqaf kepada orang-orang kaya atau berwaqaf kepada orang-orang dzimmi. Ini kerana waqaf itu adalah pemilikan manfaat waqaf, dan mereka ini (orang kaya atau orang dzimmi) adalah dari kalangan orang yang boleh memiliki (manfaat waqaf) sebagaimana juga bersedekah kepada mereka ini adalah dibolehkan.

    Namun yang jelas, tidak sah berwaqaf untuk perkara maksiat seperti seseorang berwaqaf senjata kepada orang-orang yang menimbulkan huru-hara dalam kalangan awam dan yang seumpamanya.

    Kesimpulannya, pewaqaf boleh sahaja berwaqaf dengan cara menentukan penerima manfaat waqaf atau berwaqaf dengan tidak menentukan sesiapa tetapi hanya dengan menyebut golongan sasaran yang akan menerima manfaat waqafnya. Dalam perkara menentukan penerima waqaf, hendaklah dipastikan bahawa penerima manfaat waqaf itu wujud dan mampu memiliki manfaat daripada barang yang diwaqafkan kepadanya. Begitu juga, waqaf tersebut disumbangkan bukan untuk perkara maksiat sama ada penerimanya ditentukan ataupun tidak.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...