Tuesday, April 29, 2025
25.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ernie Zakri cipta album duet Malaysia-Indonesia

    Ernie Zakri bakal tampil dengan album terbaharu berjudul Sahabat yang menyaksikan kolaborasi antara penyanyi Malaysia dan Indonesia, sekali gus menjadi satu lagi buah tangan berharganya.

    Dijangka menemui peminat dua negara pada pertengahan tahun ini, Ernie atau nama sebenar, Nur Ernie Shahirah Zakri berkata, album Sahabat menghimpunkan lapan lagu yang semuanya dirakam secara duet.

    “Album ini adalah kolaborasi sahabat dari dua negara. Kalau di Malaysia saya pasti ramai sudah tahu saya akan berkolaborasi dengan Dayang Nurfaizah dan Amir Masdi.

    “Di Indonesia pula, saya akan bekerjasama antaranya dengan Anggi Marito, Rony Parulian, Andi Rianto dan Ade Govinda. Ada beberapa nama lagi, namun ini masih dalam perancangan.

    “Semua lagu dalam album ini saya dendangkan lagu duet. Setakat ini, empat lagu sudah selesai dirakamkan manakala empat dendangan lain sedang dalam proses untuk disiapkan,” katanya kepada BH Online.

    Penyanyi wanita Malaysia, Ernie Zakri. – Agensi

    Pemenang Vokal Terbaik, Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-39 ini mahu memanfaatkan peluang untuk melebarkan sayap di Indonesia.

    “Sebenarnya, disebabkan kolaborasi dengan Ade, saya ada jalan dan peluang di Indonesia. Saya fikir, kenapa tidak untuk terus buat album berbanding hanya hasilkan lagu duet.

    “Jadi, saya fikir untuk himpunkan dalam satu album. Malah, kehadiran saya ke Indonesia boleh dikatakan akan ada hasil. Saya bekerjasama dengan Universal Music Indonesia di mana album ini akan dilancarkan di Malaysia dan di republik itu,” katanya.

    Ernie tidak menolak kemungkinan menjayakan persembahan solo di Indonesia sebagai usaha mengukuhkan nama. Namun, acara dirancang akan dianjurkan dalam skala kecil terlebih dahulu.

    “Kalau perancangan di Indonesia sekurang-sekurangnya saya mahu jayakan ‘showcase’ kecil-kecilan. Bagi saya, mungkin perlu mencuba pasaran di sana juga.

    “Sebab kalau saya ke Jakarta, orang hanya tahu lagu Masing Masing dan masih belum tahu siapa saya. Saya masih melangkah perlahan-lahan di Indonesia.

    “Saya tidaklah cukup dikenali di Indonesia dan masih mencuba. Alhamdulillah, apabila dapat peluang daripada Universal Music Indonesia, saya fikir perlu memanfaatkannya,” katanya. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda