Thursday, October 17, 2024
25.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    ESCOM promosi amalan terbaik keselamatan elektrik

    OLEH Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 17 OKT – Dalam usaha berterusan untuk meningkatkan kesedaran keselamatan elektrik di tempat kerja, Jawatankuasa Keselamatan Elektrik (ESCOM) menganjurkan acara pemberigaan untuk mempromosikan amalan terbaik dalam keselamatan elektrik khususnya dalam sektor pembinaan yang berlangsung di Dewan Teater, Jabatan Perdana Menteri, hari ini.

    Acara yang merupakan kesinambungan daripada pemberigaan yang diadakan pada Mei lalu, dihadiri oleh Timbalan Setiausaha Tetap (Tenaga) di Jabatan Perdana Menteri, Pengiran Haji Jamra Weira bin Pengiran Haji Petra.

    Turut serta menghadiri acara termasuk ahli teras dan sokongan ESCOM, pengurusan kanan dan kakitangan Autoriti Kebangsaan, Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar (SHENA), pengurusan dan kakitangan Jabatan Perkhidmatan Elektrik (DES), Autoriti Elektrik Negara Brunei Darussalam (AENBD) dan Berakas Power Company Sdn Bhd.

    Juga turut hadir adalah pengurusan dan pelajar dari institusi pendidikan seperti IBTE dan Politeknik Brunei serta kontraktor elektrik yang berdaftar dan syarikat perunding di bawah DES.

    Beberapa tahun kebelakangan ini, terdapat beberapa kejadian yang melibatkan kemalangan elektrik yang memerlukan kesedaran yang lebih mendalam dan langkah keselamatan yang lebih ketat. Antaranya adalah kejadian letupan kilat semasa kerja penyelenggaraan di sebuah pencawang menyebabkan seorang pekerja mengalami luka terbakar yang teruk pada Jun 2023 dan kematian seorang pekerja setelah jatuh dari tempat tinggi selepas terkena renjatan elektrik pada Disember 2022.  

    Sehubungan itu, acara berkenaan diadakan dengan matlamat untuk memberigakan dokumen-dokumen Amalan Terbaik Keselamatan Elektrik yang baru diterbitkan untuk meningkatkan kesedaran dan memberikan panduan mengenai pemasangan elektrik yang selamat dalam industri pembinaan.

    Dalam ucapan penutupnya, Pemangku Pengarah Bahagian Pematuhan dan Antarabangsa selaku Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Elekterik (ESCOM), Haji Noryasmin bin Haji Mohd Noor menyatakan bahawa dokumen-dokumen berkenaan merupakan bukti komitmen tidak berbelah-bahagi untuk membina persekitaran yang lebih selamat di tapak-tapak pembinaan di serata Brunei.

    Caption: – Gambar oleh Muiz Matdani

    Pengiran Haji Jamra Weira menghadiri acara berkenaan.
    Atas & Bawah: Antara yang hadir dalam acara berkenaan.

     

    Pengiran Haji Jamra Weira menyampaikan ucapan. – GAMBAR-GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda