Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Etak, snek popular rakyat Kelantan

    KUALA LUMPUR– Selama dibesarkan di Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor, Zulfadhli Zulkifli tidak pernah kenal spesies kepah air tawar, etak yang banyak terdapat di sungai Alor Lempah, Ampang Pecah, di pekan itu sehinggalah beliau berkahwin dengan orang Kelantan pada 2018.

    Zulfadhli, 35, berkata sejak dari zaman sekolah, sungai Alor Lempah yang terletak kira-kira satu kilometer dari rumahnya itu menjadi tempat dia bersama kawan-kawan mandi-manda, berkelah dan memancing ikan sungai seperti tengas dan lampam.

    “Ketika itu, saya tidak menyedari hidupan kecil bersaiz batu kerikil dan mempunyai cangkerang itu adalah etak yang boleh dimakan, jadi saya buat tak tahu saja sehinggalah diberitahu isteri saya, Nur Fatin Mohd Satar, 32, ketika kami bersama-sama pergi berkelah di sungai berkenaan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

    Zulfadhli, yang juga seorang jurugambar profesional, berkata sejak itu dia mula belajar makan etak daripada isterinya dan kini snek tradisional rakyat Kelantan itu antara makanan yang disukai.

    Menurutnya selain disalai, etak juga boleh dimasak percik dan dimakan sebagai makanan ringan seperti kuaci atau bersama nasi, dengan rasanya sangat sedap dan manis.

    Pengunjung tekun mencari etak yang terdapat di dasar sungai Alor Lempah. – Bernama
    Muhammad Faris Mohd Satar menyalai etak segar selepas mencari cangkerang itu di dasar sungai. – Bernama
    Etak segar disalai oleh Muhammad Faris Mohd Satar setelah mencari cangkerang itu di dasar Sungai Alor Lempah bersama rakan-rakannya. – Bernama
    Muhammad Faris Mohd Satar (kiri) bersama rakan-rakanya mengutip etak di dasar sungai Alor Lempah menggunakan jaring kipas angin. – Bernama
    Gambar Bernama
    Gambar Bernama

    “Sekarang, setiap kali balik ke rumah ibu bapa saya, kami akan turun ke sungai bagi menangkap etak yang berada di dalam dan permukaan pasir sungai, menggunakan peralatan sangkar buatan sendiri seperti daripada bakul motosikal dan penutup kipas.

    “Walaupun terpaksa berendam hampir dua jam dalam sungai dan berpanas di bawah terik matahari, saya puas hati apabila melihat hasil etak yang ditangkap dapat dijadikan juadah untuk kami sekeluarga,” katanya dan mengakui hasil tangkapan etak ada ketikanya mencecah hingga sekilogram.

    Pesara tentera, Sabudin Azizan, 47, dari Batu Muda, Kuala Lumpur, pula berkata dia datang ke sungai Alor Lempah itu untuk berkelah sambil menangkap etak, yang menjadi aktiviti senggang menyeronokkan buatnya dan anak-anak.

    “Mungkin generasi hari ini tidak pernah merasa pengalaman menangkap etak, jadi jika ada masa terluang datanglah ke sini kerana keadaan sungai Alor Lempah yang cetek, bersih dan berpasir sesuai untuk semua peringkat umur,” katanya.

    Sementara itu, Pensyarah Fakulti Sains dan Bumi, Universiti Malaysia Kelantan Prof Dr Aweng Eh Rak berkata etak atau nama saintifiknya Corbicula fluminea sebenarnya boleh ditemui di seluruh Malaysia sama ada di dasar sungai, tasik yang berpasir, berselut atau bercampur kedua-duanya.

    “Sungai yang airnya jernih, mengalir deras dan dasarnya berpasir akan menghasilkan etak berwarna kuning keemasan, manakala di sungai yang berkelodak, air mengalir perlahan dengan dasar berselut etaknya berwarna hitam.

    “Bagi etak di sungai yang agak berkelodak, air mengalir agak perlahan dan dasarnya terdiri daripada campuran pasir dan selut warnanya kehijauan,” katanya.

    Aweng, yang telah melakukan kajian ke atas etak sejak 2017, berkata spesies hidupan air tawar itu kian pupus kerana habitat semula jadinya telah dirosakkan oleh aktiviti pengorekan pasir di sungai.

    “Kebanyakan etak di sungai utama dalam negara sudah pupus, yang tinggal hanya di sungai kecil, tasik dan terusan untuk pengairan pertanian tetapi ia tidak lagi boleh dikomersialkan kerana jumlahnya sedikit, sekadar sesuai untuk dimakan sendiri.

    “Etak yang banyak dijual di tepi jalan pula kebanyakan diimport dari Kemboja melalui Thailand,” katanya dan menambah pelbagai usaha telah dilakukan untuk menternak hidupan air tawar itu tetapi hingga kini masih gagal.

    Menurutnya hanya masyarakat Kelantan menjadikan etak salai sebagai makanan ringan sejak berdekad lamanya dan amalan pemakanan itu kekal diwarisi hingga ke hari ini.

    “Hasil kajian juga mendapati etak salai memberikan khasiat kepada penggemarnya kerana boleh dikatakan nilai proteinnya agak tinggi selain mempunyai karbohidrat dan lemak baik,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...