Tuesday, April 22, 2025
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    EU lulus vaksin Moderna untuk remaja

    THE HAGUE, 23 JULAI – Badan pengawal selia ubat-ubatan Eropah hari ini meluluskan penggunaan vaksin koronavirus Moderna untuk kanak-kanak berusia 12 hingga 17 tahun, menjadikannya vaksin kedua untuk golongan remaja yang digunakan di benua itu.

    “Penggunaan vaksin Spikevax dalam golongan remaja dari 12 hingga 17 tahun adalah sama dengan mereka berusia 18 tahun ke atas,” kata Agensi Ubat-Ubatan Eropah (EMA), menggunakan nama jenama Moderna.

    Vaksin itu akan diberikan dalam dua dos suntikan, selang empat minggu.

    Keputusan oleh agensi yang berpangkalan di Amsterdam itu menyusuli kelulusan vaksin pertama untuk remaja Eropah, oleh Pfizer/BioNtech pada Mei.

    Kesan Spikevax telah dikaji di kalangan 3,732 kanak-kanak berusia 12 hingga 17 tahun, kata EMA.

    “Kajian menunjukkan Spikevax menghasilkan respons antibodi yang sama dalam remaja 12 hingga 17 tahun dengan yang dilihat dalam orang dewasa berusia 18 hingga 25 tahun,” katanya. Ia menggunakan bahan genetik untuk memberikan arahan kepada sel manusia supaya menghasilkan protein koronavirus, justeru melatih respons imun tanpa mendedahkan hos kepada jangkitan sebenar.

    EU semalam berkata 200 juta warga Eropah telah menerima dos lengkap vaksin, lebih separuh daripada populasi orang dewasa, namun masih kurang daripada sasaran 70 peratus yang ditetapkan untuk musim panas. – AFP

    Seorang lelaki menerima suntikan vaksin Moderna di tapak vaksinasi di Kampus Pendidikan South Bronx di New York. Badan pengawal selia ubat-ubatan Eropah telah meluluskan penggunaan vaksin koronavirus Moderna untuk kanak-kanak berusia 12 hingga 17 tahun.- AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda