Sunday, October 2, 2022
24.1 C
Brunei

EV berpotensi kurangkan pelepasan GHG

-

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 SEPT – Sehingga Disember 2021, lebih 99 peratus daripada 277,316 buah kenderaan yang berlesen aktif di Negara Brunei Darussalam dilengkapi dengan enjin petrol dan diesel.

Jumlah itu merupakan penyumbang ketiga terbesar bagi pelepasan Gas Rumah Hijau (GHG) daripada pengangkutan pada 2018 dan sekali lagi pada 2020.

“Jika kita tidak melakukan sesuatu, pelepasan GHG daripada sektor pengangkutan telah diunjurkan meningkat hampir dua kali ganda menjelang 2035.”

Perkara itu dinyatakan oleh Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pengangkutan), Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Haji Mohd Salihin bin Haji Aspar selaku Pengerusi Bersama Electric Vehicle Joint Task Force (EVJTF), dalam kata alu-aluannya semasa Sesi Dialog EV, Driving Towards A Greener Nation, yang berlangsung di Pusat Kesenian ProCanselor, Universiti Brunei Darussalam, hari ini.

Hadir pada sesi dialog tersebut ialah Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha.

Haji Mohd Salihin semasa menyampaikan kata alu-aluannya pada Sesi Dialog EV, Driving Towards A Greener Nation, kelmarin.
Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary semasa yang menghadiri sesi dialog tersebut, yang berlangsung di Pusat Kesenian Pro-Canselor, Universiti Brunei Darussalam, kelmarin.
Antara yang menghadiri sesi dialog tersebut.

Turut hadir ialah Pemangku Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Pemangku Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Dato Seri Paduka Haji Khairuddin bin Haji Abdul Hamid; Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Tenaga), Jabatan Perdana Menteri, Awang Mohammad Nizam bin Haji Ismi yang juga Pengerusi Bersama EVJTF dan penganjur bersama Dialog EV; Pengarah Urusan Syarikat Pemasaran Brunei Shell (BSM), Awang Muhammad Norshafiee bin

Dato Paduka Haji Abdul Jalil, yang juga penganjur bersama Dialog EV serta Setiausaha Tetap, Kementerian Pengang-kutan dan Infokomunikasi, Awang Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof.

Haji Mohd Salihin dalam kata alu-aluannya menyata-kan Dasar Perubahan Iklim Kebangsaan Brunei telah mengenal pasti peralihan ke arah kenderaan elektrik (EV) merupakan satu pilihan yang berdaya maju bagi Brunei Darussalam kerana perjalanan di dalam negara sebilangan besarnya berjarak dekat dan kuasa elektrik adalah tidak mahal bagi mengecas berbanding petrol atau diesel.

Beliau menerangkan penggunaan bahan api yang di-kurangkan bukan sahaja akan menghasilkan jauh lebih rendah pelepasan GHG tetapi ia juga akan mengurangkan jumlah perbelanjaan kerajaan bagi subsidi bahan api.

Beliau seterusnya menerangkan bahawa EVJTF telah ditubuhkan pada awal 2020 di mana ia merupakan sebuah platform untuk memastikan pendekatan seluruh negara dalam memperkenalkan, membangunkan dan melaksanakan strategi serta dasar EV untuk mempromosikan penggunaan EV di Negara Brunei Darussalam.

Beliau menerangkan lanjut EVJTF memulakan inisiatif berkenaan pada 2021 dengan pelancaran Projek Rintis EV pada 25 Mac 2021 dan dijangka akan berjalan sehingga Mac 2023. Sejak pelancaran projek rintis berkenaan, beberapa dasar utama dan program sokongan telah dirancang dengan beberapa daripadanya telah dilaksanakan.

Salah satu dasar utama yang dilaksanakan, ulasnya, adalah pemilik EV dikecualikan daripada membayar yuran lesen kenderaan tahunan bagi tempoh projek dua tahun berkenaan.

Sehingga kini, sebanyak 19 buah EV telah didaftarkan di negara ini dengan pemilik EV secara utamanya menggunakan unit pengecas rumah mereka sendiri untuk mengecas kenderaan masing-masing.

Dasar-dasar dan program sokongan lain yang telah dikenal pasti oleh pasukan petugas berkenaan adalah pengenalan infrastruktur pengecas pantas EV, melaksanakan program untuk mendidik orang ramai dan mempromosikan penggunaan EV, memastikan keselamatan kenderaan, ketersediaan perkhidmatan lepas jualan, pembiayaan hijau serta pelupusan bateri EC dengan betul.

Sementara itu, matlamat yang ditetapkan oleh Dasar Perubahan Iklim Kebangsaan Brunei Darussalam kekal bagi EV untuk meliputi sehingga 60 peratus jualan kenderaan tahunan keseluruhan menjelang 2035, jelas Haji Mohd Salihin, matlamat yang lebih besar adalah untuk menyaksikan pengurangan dalam jejak karbon pengangkutan darat dalam menyokong matlamat pembangunan mampan negara.

Oleh itu, EV boleh memainkan peranan yang menonjol dalam mencapai matlamat berkenaan dengan pelaksanaan gabungan langkah termasuk menggalakkan perjalanan dengan kaedah pengangkutan yang lain seperti pengangkutan awam, meningkatkan penjualan kenderaan efisien tenaga yang lain, Peraturan Ekonomi Bahan Api serta perancangan bandar pintar.

Sesi dialog EV dianjurkan oleh EVJTF dan dipengerusikan bersama oleh Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi dan Jabatan Tenaga, Jabatan Perdana Menteri bersama-sama dengan BSM itu bermatlamat untuk berkongsi maklumat mengenai pembelajaran dan perkembangan terkini berhubung kenderaan elektrik global serta penerimaannya di Negara Brunei Darussalam sejak pelancaran program rintis pada Mac 2021.

Sesi Dialog EV dimulakan dengan pembentangan ucaptama secara maya oleh tiga orang pembentang antarabangsa ia-itu Pegawai Hal Ehwal Ekonomi dari United Nation Economic and Social Commission for Asia and the Pacific (UNESCAP), Fadiah Achmadi yang mengongsi perspektif global bagi dasar-dasar, cabaran dan prospek EV, manakala Konsultan UNESCAP, Gautam Patel berkongsi mengenai perkembangan global dalam teknologi EV serta Leftenan Kolonel Dr Tongkarn Kaewchalermtong, Chulachomklao Royal Military Academy, Thailand pula berkongsi mengenai pengalaman EV di Thailand.

Secara kesimpulannya, menerusi pembentangan tersebut, adalah jelas terdapatnya peralihan industri pengangkutan dan global ke arah kenderaan elektrik dengan kebanyakan pengeluar kenderaan mengumumkan rancangan mereka untuk menjual semua kenderaan elektrik seawal-awalnya 2030.

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

19 terbunuh, 28 cedera dalam kejadian letupan bom

ISLAMABAD, 30 SEPT – Sekurang-kurangnya 19 orang terbunuh dan 28 lagi cedera dalam satu kejadian pengeboman nekad di sebuah pusat pendidikan di ibu negara Afghanistan,...
- Advertisment -