Thursday, November 7, 2024
28.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ezad alami masalah sinus menjelang konsert

    Tinggal lebih kurang empat hari sebelum konsert, penyanyi Malaysia, Ezad Lazim terganggu dengan masalah resdung atau sinus yang dihidapinya sejak sekian lama.

    Ezad atau Mohd Rohaizad Mohd Lazim, 45, berkata, masalah sinus itu menyebabkan pernafasan dan suaranya terganggu sekali gus mendatangkan kebimbangan untuk membuat persembahan di konsert Battle Of Time Exists X Masdo pada 10 November ini.

    “Sebenarnya saya mengalami masalah sinus ini sudah lama tapi sejak dua atau tiga minggu ini saya jadi makin risau kerana konsert sudah hampir.

    “Semalam (Isnin) saya pergi klinik dan doktor beritahu masalah sinus saya semakin serius.

    “Kalau ikutkan dari dulu doktor suruh buat pembedahan tetapi disebabkan jadual kerja padat saya tidak melakukannya.

    Ezad berharap dapat melakukan persembahan dengan baik sewaktu konsert. – mStar

    “Pernafasan dan suara saya jadi terganggu. Memang saya boleh menyanyi tetapi sebagai penyanyi saya tidak puas hati sekiranya tidak dapat membuat persembahan dengan baik,” katanya kepada mStar.

    Ezad berkongsi perkara itu ketika ditemui di sidang media Umrah Langkah Seiringan Exists yang diadakan di Hotel Royal Chulan, The Curve, Damansara pada Selasa.

    Dalam pada itu, Ezad memberitahu sebagai penyanyi dia mahu memberikan persembahan terbaik kepada penonton lebih-lebih lagi mereka sudah mengeluarkan wang membeli tiket.

    Tambah Ezad, dia terpaksa menolak beberapa tawaran persembahan kerana doktor menyarankan dia berehat sebelum menjelang hari konsert.

    Ezad bagaimanapun merancang menjalani pembedahan sinus tahun depan selepas melunaskan komitmen kerja sepanjang tahun ini. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda