MADRID, 2 JULAI – Bekas pemain tengah Arsenal, Barcelona dan Chelsea, Cesc Fabregas, mengumumkan persaraannya daripada bola sepak pada usia 36 tahun semalam. Dia turut mendedahkan hasratnya untuk terus melibatkan diri dalam bidang kejurulatihan.
Fabregas telah mencatat kejayaan yang cemerlang sepanjang kerjayanya, termasuk memenangi Piala Dunia 2010 dan dua gelaran Eropah bersama pasukan kebangsaan Sepanyol. Dia juga meraih dua gelaran Liga Perdana Inggeris bersama Chelsea dan La Liga ketika di Barcelona.
“Dengan perasaan sedih, tiba masanya bagi saya untuk menggantung but bola sepak saya,” tulis Fabregas di laman media sosial.
“Ia adalah satu perjalanan yang tidak akan saya lupakan,” tambahnya.
“Dari hari pertama saya di Barca, Arsenal, kembali ke Chelsea, Monaco dan Como, saya akan menghargai mereka semua,” ujarnya.
Fabregas turut mencipta sejarah dengan bergabung bersama Andres Iniesta untuk menjaringkan gol kemenangan menentang Belanda pada perlawanan akhir Piala Dunia 2010 di Johannesburg.
Dia memulakan kerjayanya di akademi Barcelona sebelum menyertai Arsenal ketika berusia 16 tahun pada 2003. Fabregas memenangi Piala FA bersama Arsenal pada 2005 dan terlibat dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara pada musim berikutnya yang berakhir dengan kekalahan 2-1 kepada Barcelona.
Dia kembali ke Barcelona pada 2011 dan menghabiskan tiga tahun di Camp Nou sebelum menandatangani kontrak bersama Chelsea. – AFP
