Selepas setahun mendirikan rumah tangga, pelakon Fadlan Hazim sudah bersedia bergelar seorang bapa.
Fadlan atau Fadlan Hazim Anuwar, 32, berkata, dia dan isteri sedang dalam proses mencuba mendapatkan cahaya mata dan berharap impian itu akan terlaksana tidak lama lagi.
“Perancangan memiliki cahaya mata memang ada malah sekarang pun saya dan isteri sedang mencuba. Insya-Allah, doa-doakan.
“Umur saya pun dah masuk 32 tahun, jadi rasanya sedang elok kalau ada anak,” katanya kepada mStar.
Fadlan berkongsi perkara itu ketika ditemui di majlis pelancaran Elitez Gym di Mont Kiara, Kuala Lumpur pada petang Sabtu.
Bercakap lanjut mengenai membina keluarga, Fadlan berharap dapat memiliki dua orang cahaya mata.
Jelas Fadlan, dia tidak mahu mempunyai terlalu ramai anak kerana ingin memberikan kasih sayang dan perhatian lebih baik kepada dua cahaya matanya nanti.
“Saya dan isteri sepakat paling maksimum pun dua orang anak sebab kalau hendak pulang ke Kazakhstan lebih mudah.
“Saya percaya rezeki anak tetapi kalau saya ada wang berjuta-juta sekali pun, maksimum saya tetap dua orang cahaya mata.
“Saya mahu beri kasih sayang secukupnya kepada anak-anak,” jelasnya.
Untuk rekod, Fadlan mendirikan rumah tangga dengan Aiya Mukhamedsalova, 30, yang juga berasal dari Kazakhstan pada 16 Julai 2023. – Agensi