Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Fahami ujian sakit!

    (Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

    Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan

    Sambungan dari minggu lepas

    Siri Kedua

    Ujian Itu Mengikut Tahap Keimanan Seseorang

    Semakin kuat iman seseorang itu, maka semakin hebatlah ujian ke atasnya. Ini jelas sebagaimana yang dinyatakan oleh ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sendiri tidak terlepas dari menerima ujian yang sangat berat jika dibandingkan dengan orang lain. Beliau berkata yang maksudnya:

    Sesungguhnya aku belum pernah menyaksikan seseorang (menderita) kesakitan yang lebih parah dari apa yang dideritai oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. (Hadits riwayat al-Bukhari)

    Abu Sa‘id al-Khudri Radhiallahu ‘anhu pula menceritakan bahawa pada suatu hari dia telah pergi menemui Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.

    Ketika itu Baginda sedang demam. Lalu Abu Sa‘id al-Khudri Radhiallahu ‘anhu meletakkan tangannya ke atas tubuh Baginda dan mendapati pada tangannya rasa panas, padahal tangannya berada di atas selimut yang menyelimuti tubuh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Lalu dia pun berkata yang maksudnya:

    Wahai Rasulullah! Alangkah beratnya cubaan (demam) itu kepada Tuan.

    Baginda bersabda: “Sesungguhnya kami memang seperti demikian itu. Dilipat-gandakan cubaan itu kepada kami serta dilipat-gandakan pula pahalanya kepada kami.”

    Aku (Abu Sa‘id) berkata: “Wahai Rasulullah! Siapakah manusia yang paling berat menerima dugaan?”

    Baginda menjawab: “Para nabi.”

    Aku (Abu Sa‘id) berkata: “Wahai Rasulullah! Kemudian siapa?”

    Baginda menjawab: “Kemudian orang-orang shalih. Bahkan ada antara mereka yang diuji dengan kefakiran, sehinggakan dia tidak menemukan sesuatu kecuali selembar kain (pakaian) untuk dipakai berselimut. Hinggakan ada antara mereka yang merasa gembira menerima bala (musibah) sebagaimana ada antara kamu yang merasa gembira memperoleh kesenangan.” (Hadits riwayat Ibnu Majah)

    Hikmah Sebalik Sakit

    Apabila diuji dengan sesuatu penyakit, maka selaku seorang Muslim yang beriman, perkara yang utama yang perlu dilakukan ialah muhasabah diri, mengingati dan menghitung kembali betapa banyak kesalahan atau dosa yang telah dilakukannya.

    Maka apabila ditimpa dengan sedikit ujian itu, wajarlah bersabar dan menerimanya dengan redha tanpa sebarang keluhan atau rintihan. Jauh sekali menyalahkan qadha dan qadar Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

    Setentunya Allah Ta‘ala Maha Mengetahui akan rahsia dan hikmah di sebalik ujian tersebut.

    Ada pula segolongan manusia yang ditimpakan musibah itu adalah dengan maksud agar mereka mendapat kebaikan dan ganjaran, membuatkan mereka lebih muhasabah diri dalam semua hal keadaan, redha dengan Allah dan berserah dengan qadha dan qadarNya.

    Golongan ini akan merasa redha dan sabar serta taat dengan ujian Allah tanpa keluh kesah dan rungutan, apa lagi untuk merasa kecewa dan berputus asa.

    Untuk lebih jelas renungkan hadits-hadits berikut yang menyatakan perbezaan antara dua golongan manusia, yang satu ditimpa musibah dan yang satu lagi tidak pernah ditimpa musibah.

    Hadits shahih yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallahu ‘ahnu bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:

    Sesiapa yang Allah inginkan padanya sesuatu kebaikan, (Allah) akan mengujinya. (Hadits riwayat al-Bukhari)

    Manakala hadits lain membawakan mesej yang lain pula, iaitu riwayat Anas bin Malik Radhiallahu ‘ahnu daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang maksudnya:

    Besarnya pahala (balasan) adalah seimbang (setara) dengan besarnya cubaan (bala). Dan sesungguhnya Allah, bila menyukai suatu kaum, Dia akan memberi cubaan kepada mereka. Maka sesiapa yang redha, baginya keredhaan Allah. Dan sesiapa yang marah (tidak dapat menerima cubaan), maka baginya kemurkaan Allah. (Hadits riwayat Ibnu Majah)

    Berbeza pula bagi individu yang tidak pernah ditimpa ujian dan dugaan.

    Abu Hurairah Radhiallahu ‘ahnu meriwayatkan perbualan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dengan seorang Arab Badawi yang maksudnya:

    Adakah engkau (pernah) mengalami ummu mildam?

    Dia berkata: “Apakah ummu mildam itu?”

    Baginda bersabda: “Rasa panas yang dirasai di antara kulit dan daging (demam).”

    Dia menjawab: “Aku tidak pernah merasakan perkara itu”.

    Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bertanya (lagi): “Adakah engkau pernah merasai pening?”

    Dia berkata: “Apakah pening itu?”

    Baginda bersabda: “Rasa sakit berdenyut yang dirasakan oleh seseorang pada kepalanya.”
    Dia menjawab: “Aku tidak pernah merasakan perkara itu.”

    Maka apabila lelaki itu berpaling (berlalu pergi), Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Barangsiapa mahu melihat (contoh) lelaki daripada ahli neraka, maka lihatlah orang ini.” (Hadits riwayat Ibnu Hibban)

    Dalam kitab Shahih Ibnu Hibban bi Tartib Ibnu Bulban, Abu Hatim seterusnya menerangkan bahawa ini tidak bermakna orang yang sentiasa sihat di dunia ini bakal menjadi ahli neraka kelak.

    Apa yang dimaksudkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam ialah Baginda menerangkan kepada umatnya bahawa seseorang itu tidak lepas dari melakukan kesalahan dan dosa.

    Perbuatan salah dan dosa itu pasti akan menerima balasannya di akhirat kelak, melainkan jika telah diampunkan. Ini termasuklah menerima sebahagian balasan perbuatan itu semasa di dunia sama ada berupa penyakit, perasaan dukacita dan perkara-perkara yang menyedihkan.

    Lain-lain Hikmah: Sakit Sebagai Balasan, Penebus Dosa dan Mengangkat Martabat Seseorang

    Sakit adalah satu bentuk balasan terhadap dosa yang telah dilakukan di dunia. Dalam masa yang sama pula, ia menjadi penebus dosa serta mengangkat martabat seseorang hamba.

    Ini dapat dibuktikan melalui ayat al-Qur’an dan hadits-hadits Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam seperti berikut:

    1. Sebagai Balasan Di Dunia (‘Uqubah wal Jaza’)

    Dalam kitab Tafsir al-Fakhr ar-Razi, sakit itu sebagai salah satu bentuk balasan iaitu akibat daripada kesalahan atau dosa yang telah dilakukan di dunia. Perkara ini disebut dalam firman Allah Ta‘ala yang tafsirnya:

    Sesiapa yang melakukan kejahatan, ia akan dibalas dengan kejahatan itu. (Surah an-Nisa’: 123)

    Disebutkan dalam kitab tersebut, apabila diturunkan ayat di atas kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, maka telah timbul pertanyaan serta perasaan takut di kalangan para sahabat dan pengikut Baginda. Antaranya ialah:

    • Pertanyaan Sayyidina Abu Bakar Radhiallahu ‘anhu kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang maksudnya:

    Wahai Rasulullah! Bagaimanakah (bentuk) kebaikan itu setelah diturunkan ayat ini
    “Sesiapa yang melakukan kejahatan, dia akan dibalas dengan kejahatan itu”? Apakah setiap kejahatan yang telah kami lakukan kami akan diberi balasan?”

    Maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Semoga Allah mengampunkanmu wahai Abu Bakar,” (Baginda berkata demikian) sebanyak tiga kali. “Bukankan engkau jatuh sakit? Bukankah engkau merasa sedih? Bukankah engkau dilanda keletihan? Bukankah engkau ditimpa bala (musibah)?”

    (Abu Bakar) berkata: “Aku berkata (kepada Rasulullah): “Ya!” Baginda bersabda: “Maka (dengan) itulah kamu diberi balasan semasa di dunia.” (Hadits riwayat al-Baihaqi)

    • ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha meriwayatkan bahawa seorang lelaki demi membaca ayat di atas, dia lantas bertanya: “Apakah kami akan dibalas dengan setiap apa yang kami lakukan. Jika demikian, maka kami akan binasa.” Maka kata-katanya itu telah sampai kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam lalu Baginda bersabda yang maksudnya:

    Ya, (seseorang itu) akan diberi balasan dengan setiap perbuatan semasa berada di dunia berupa musibah pada tubuh badannya daripada perkara yang menyakitinya. (Hadits riwayat Ibnu Hibban)

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...