Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Tanam semangat patriotik, jayakan wawasan 2035

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 FEB – Diberi tanggungjawab untuk mengetuai bacaan ikrar Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-39 merupakan satu peluang yang amat bermakna buat Awangku Mohammad Nazirul Mubin bin Pengiran Haji Abdul Rahman.

    “Alhamdulillah bersyukur dan berterima kasih atas kepercayaan diberikan kepada saya untuk mengepalai bacaan ikrar, iaitu sumpah taat setia kita kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam selaku Ulil Amri,” ujar beliau semasa ditemui sebelum sambutan di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien di ibu negara, hari ini.

    Awangku Mohammad Nazirul Mubin yang berusia 29 tahun turut mengongsikan bahawa perasaan gementar itu memang ada kerana beliau bukan sahaja membawa namanya sendiri, tetapi juga nama baik Kementerian Pertahanan.

    “Tapi, saya berusaha melaksanakan tanggungjawab dengan sebaiknya. Insya Allah,” tambah beliau yang bertugas sebagai Pegawai Kerja di Kementerian Pertahanan.

    Beliau seterusnya berkata, “Memang nampak usaha negara untuk memberi peluang generasi baharu untuk memimpin. Bukan saya sahaja, tetapi semua peserta ikrar pada tahun ini memang dalam kalangan belia.”

    Awangku Mohammad Nazirul Mubin semasa membaca ikrar. – Gambar oleh Muiz Matdani

    Menurutnya, kesemua peserta mempunyai latar belakang yang berbeza, sangat cemerlang dan bergemerlapan yang mewarnai pasukan ikrar pada tahun ini.

    “Ada antara peserta yang cemerlang dari segi akademik, sukan, aktiviti kemasyarakatan dan lain-lain,” kongsi beliau yang kemudiannya menambah bahawa secara ringkasnya, semua peserta sememangnya telah menghulurkan sumbangan dan jasa yang sangat signifikan kepada pembangunan negara.

    Ketika ditanya mengenai latihan dan persiapan yang telah dilakukan, beliau mengongsikan bahawa mereka memang diperlukan untuk menjaga makan dan minum.

    “Ada beberapa jenis makanan yang perlu dielakkan seperti makanan berminyak, pedas, manis dan lain-lain agar tidak menjejaskan suara.

    “Selain itu, saya juga perlu menghafal bait-bait ikrar agar dapat menjiwai bacaan tersebut sepenuhnya,” jelasnya.

    Semasa temu bual tersebut, Awangku Mohammad Nazirul Mubin turut mengulas mengenai tema Hari Kebangsaan tahun ini yang mana menurutnya, tema tersebut menunjukkan betapa seriusnya negara untuk mahu benar-benar mencapai Wawasan Brunei 2035.

    “Ia bukan sekadar retorik, tapi itulah hala tuju kitani dalam membangun bangsa dan negara,” tekannya.

    Di hujung temu bual, beliau turut menyampaikan pesanan untuk diri beliau sendiri dan semua bahawa kita perlu menanamkan semangat kebangsaan, semangat patriotik dalam diri kita.

    “Antara caranya ialah dengan memahami benar-benar akan sejarah. Fahami benar-benar identiti diri. Faham benar-benar betapa untungnya kita berada di bumi Darussalam di bawah pimpinan raja pemedulian dan kasih kepada rakyat.

    “Barulah kita dapat rasa sayang dan timbul semangat patriotik kepada raja, agama dan negara. Insya Allah,” tegasnya.

    Artikel sebelum ini
    Artikel seterusnya
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...