Friday, May 9, 2025
31.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Faiq Bolkiah pamer prestasi terbaik di Chonburi FC

    Oleh Fadhil Yunus

    THAILAND, 24 APRIL – Faiq Bolkiah terus meningkatkan prestasinya dalam Liga Thai Hilux Revo 1 selepas mencatatkan assist keempat untuk kelabnya, Chonburi FC semasa kekalahan 2-1 kepada Nakhon Ratchasima FC di Stadium Chonburi di Thailand baru-baru ini.

    Pemain sayap kebangsaan tersebut melakukan hantaran lintang ke dalam kotak penalti yang disambut dengan tandukan kemas oleh rakan sepasukannya, Yoo Byung-soo, menyebabkan penjaga gol pasukan pelawat, Pisan Dorkmaikaew bergelut untuk menghalang bola daripada masuk.

    Kedua-dua penyerang itu kelihatan mempunyai persefahaman dan gabungan yang baik pada musim ini, apabila sebelum ini dikaitkan dengan gol yang dijaringkan menentang Nongbua Pitchaya, Khon Kaen United dan Chiangmai United.

    Faiq juga membuat permulaan ketujuhnya dalam 12 penampilan liga dan mengekalkan tempatnya dalam kesebelasan utama berikutan prestasi baiknya dalam aksi kelab sebelum ini menentang Prachuap FC.

    Ia juga menandakan permulaan liga keempat berturut-turut pemain antarabangsa Brunei tersebut, menyerlahkan lagi peranan pentingnya dalam pasukan sebagai saluran kreatif.

    Aksi Faiq Bolkiah semasa mengawal bola dalam perlawanan antara Chonburi FC dan Nakhon Ratchasima FC di Stadium Chonburi, Thailand, baru-baru ini. – Gambar serahan Chonburi FC

    Perkara tersebut turut menarik minat komuniti bolasepak Brunei apabila bekas pemain pertahanan DPMM FC, Charlie Clough kini dalam pasukan Nakhon Ratchasima bertembung dengan Faiq buat kali pertama.

    Pasukan pelawat tersebut kelihatan mengambil inisiatif awal ketika pemain pertahanan, Abdulhafiz Bueraheng mara ke dalam kotak penalti dengan tujuan tetapi Songchai Thongcham dari Chonburi sedar dengan bahaya tersebut dan menghalang rembatannya.

    Penyerang Nakhon Ratchasima, Shintaro Shimizu, yang diutamakan berbanding Kwame Karikari, bebas untuk melakukan jaringan ke gawang tetapi penjaga gol Chonburi, Chanin Sae-aer membuat penyelamatan yang baik untuk menghalang cubaan pemain Jepun tersebut.

    Faiq melihat dengan jelas kedudukan rakan sepasukannya untuk melakukan hantaran kepada Dennis Murillo pada minit ke-35 tetapi percubaan penyerang Brazil itu dihalang oleh Dorkmaikaew.

    Kemudian, bola seterusnya melantun kepada Yoo Byung-soo tetapi Charlie Clough berjaya membuat pampanan penting.

    Pasukan pelawat mendahului pada minit keempat sebelum separuh masa pertama tamat apabila Naruphol Ar-romsawa dengan tenang merembat masuk bola dengan penyudah rendah melalui hantaran oleh Amadou Ouattara.

    Pasukan tuan rumah menyerang balas melalui Yoo Byung-soo pada minit ketiga selepas dimulakan semula ketika Faiq, yang membuat penampilan sulung profesional senior pada musim ini, mendapatkan assist keempatnya dengan pemain Korea Selatan tersebut sebagai penerima tunggal pada semua perlawanan.

    Pasukan Swat Cat kembali mendahului hanya tujuh minit kemudian selepas sepakan percuma yang dilakukan ketika kapten Chalermpong Kerdkaew melakukan hantaran kepada Ouattara, yang menjaringkan gol melepasi Chanin Sae-ear.

    Faiq dan rakan sepasukannya akan berusaha untuk bangkit dalam pertemuan liga seterusnya ketika mereka akan bertembung dengan Ratchaburi FC di laman sendiri pada 30 April nanti.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda