Sunday, March 16, 2025
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Farah Nabilah mula ceburi bidang perniagaan

    Berbaki empat minggu sebelum dijangka melahirkan cahaya mata pertama, pelakon Farah Nabilah tetap gigih menguruskan perniagaannya.

    Menurut Farah atau nama sebenarnya Farah Nabilah Saipuddin, 28, status sebagai seorang isteri dan bakal ibu menjadi salah satu penyebab dia mula menceburi bidang perniagaan.

    Biarpun kini seronok menguruskan perniagaan tersebut namun pelakon yang mula dikenali menerusi drama Cik Reen & Encik Ngok Ngek itu tetap akan meneruskan kariernya dalam bidang lakonan.

    “Apabila dah kahwin ini, banyak perkara perlu dihadkan dan syukur rezeki dikurniakan anak pun datang awal. “Lagipun sebagai seorang isteri, tanggungjawab banyak dekat rumah. Tak boleh tinggalkan keluarga. Sebab itu saya fikir, lebih baik saya upgade diri saya dan lakukan sesuatu sebab daripada dulu hanya berlakon saja.

    “Saya seorang yang mementingkan keluarga… jadi kalau boleh saya nak duduk rumah dan buat bisnes. Sekurang-kurangnya apabila ada perniagaan sendiri, saya boleh uruskan dari rumah juga.

    Farah Nabilah mendedahkan status sebagai seorang isteri dan bakal ibu menjadi salah satu penyebab dia mula menceburi bidang perniagaan. – Agensi

    “Kalau berlakon pun mungkin saya akan pilih telefilem atau drama yang bersesuaian tapi apa pun saya tetap akan cuba bahagikan sama rata antara dunia lakonan dan perniagaan,” kata Farah kepada wartawan.

    Pada Jun lalu, Farah berkongsi berita gembira bahawa dia sedang hamil lima bulan dan berasa teruja untuk menantikan kelahiran cahaya mata pertama.

    Menerusi laporan media pada 10 Jun lalu, Farah berkata dia tidak mengalami sebarang alahan yang teruk sepanjang tempoh awal trismester pertama.

    Dalam pada itu, Farah memberitahu dia dan suaminya iaitu Mohammed Amirul Yunus mahu menjadikan jantina bayi sulung mereka sebagai satu kejutan.

    Farah mendirikan rumah tangga dengan Amirul yang merupakan juruterbang sebuah syarikat penerbangan terkenal pada 20 Disember tahun lalu. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda