Oleh Nurdiyanah R.
BANDAR SERi BEGAWAN, 27 MEI – Dengan berakhir Fasa Awal Endemik dalam masa terdekat ini sekali gus meneruskan kehidupan harian dalam norma baharu, bukanlah sebab untuk mengetepikan sepenuhnya segala prosedur operasi standard (SOP) seperti penggunaan pelitup muka dan penjarakan sosial.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah semasa sidang media yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini menegaskan bahawa semua lapisan masyarakat memainkan peranan utama dalam menanai tanggungjawab sosial untuk berfikir secara rasional dalam setiap kegiatan harian demi sama-sama melindungi lebih-lebih lagi ketika sesi perkumpulan ramai dan kepekaan individu masing-masing dalam meneliti situasi kesihatan dari semasa ke semasa.
Sementara itu, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong turut menyarankan kepada orang ramai atau pihak penganjur yang mengadakan majlis keramaian seperti perkahwinan untuk sentiasa meneliti amalan-amalan terbaik dengan mengamalkan SOP sebaik mungkin untuk kebaikan bersama meskipun kerajaan sudah menetapkan kelonggaran sepenuhnya dalam aspek perkumpulan ramai nanti.
