Friday, November 15, 2024
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Fasiliti simulasi bulan sedia latihan untuk angkasawan

    COLOGNE – Dua angkasawan, Thomas Pesquet dari Perancis dan Matthias Maurer dari Jerman, mengenakan sut angkasa yang berat dan visor untuk melindungi diri mereka daripada cahaya matahari sambil bergerak perlahan di kawasan yang kelihatan seperti permukaan bulan.

    Namun sebenarnya latihan yang turut ditemani oleh robot anjing itu bukanlah diadakan di bulan.

    Agensi Angkasa Eropah (ESA) masih memerlukan beberapa tahun sebelum dapat menghantar salah seorang angkasawannya ke sana.

    Buat masa ini, latihan tersebut dijalankan di fasiliti baharu ESA di Jerman yang direka bagi mensimulasikan keadaan di bulan.

    Fasiliti LUNA, yang terletak di Pusat Angkasawan Eropah berhampiran Cologne, menggunakan 900 tan batu gunung berapi yang dihancurkan dan ditaburkan di kawasan seluas gelanggang bola keranjang untuk meniru permukaan bulan. Keadaan graviti rendah bulan akan disimulasikan menggunakan troli bergerak yang dipasang pada siling, mengikuti pergerakan angkasawan atau kapal angkasa yang terapung.

    Pesquet dan Maurer melakukan latihan di fasiliti LUNA, Pusat Angkasawan Eropah, Cologne, Jerman. – AP
    Seorang angkasawan menunjukkan latihan simulasi pada permukaan bulan di Pusat Angkasawan Eropah di Cologne, Jerman. – AP
    Pesquet dan Maurer meraikan kejayaan latihan mereka dalam simulasi permukaan bulan di Pusat Angkasawan Eropah di Cologne, Jerman. – AP
    Robot anjing yang digunakan pada sesi demonstrasi latihan simulasi berkenaan di fasiliti LUNA di Pusat Angkasawan Eropah di Cologne, Jerman. – AP

    Menurut angkasawan ESA, Alexander Gerst, fasiliti tersebut akan menyediakan ‘kebanyakan aspek yang akan dihadapi oleh angkasawan di bulan’.

    “Permukaannya, debu bulan, batu-batuannya, serta pencahayaannya,” kata Gerst semasa taklimat sebelum pembukaan fasiliti tersebut.

    “Kami akan bekerja dalam sut angkasa yang mengehadkan pergerakan dan penglihatan kami.”

    Ketua Pengarah ESA, Josef Aschbacher, menyifatkan pembukaan fasiliti itu sebagai ‘satu tonggak penting dalam usaha penerokaan angkasa lepas Eropah’.

    ESA sudah berunding untuk menempatkan tiga angkasawan mereka dalam misi ke bulan melalui program Artemis yang diketuai NASA menjelang 2030, tertakluk kepada kemajuan program tersebut.

    Pada masa ini, ESA masih bergantung kepada NASA dan agensi lain untuk menghantar angkasawannya ke angkasa lepas. Agensi itu kini sedang membina modul perkhidmatan bagi kapsul kru Orion yang akan terbang ke bulan sebagai sebahagian daripada program Artemis.

    “Kita perlu bersiap sedia untuk ke bulan kerana buat masa ini kita hanya beroperasi di bahagian bawah orbit Bumi menuju Stesen Angkasa Antarabangsa,” kata angkasawan Matthias Maurer.

    “Namun, misi-misi seterusnya akan membawa kita ke bulan,” tambahnya.

    Tanah yang digunakan di fasiliti LUNA diperbuat daripada batuan gunung berapi yang dilombong di kawasan pergunungan Siebengebirge, yang tidak jauh dari lokasi fasiliti tersebut.

    Batu-batu itu dihancurkan dan diayak sehingga menyerupai permukaan bulan sebaik mungkin.

    Pembukaan fasiliti itu tertunda beberapa tahun akibat pandemik serta penemuan spesis cicak terlindung di tapak pembinaan, yang menyebabkan lokasi terpaksa dipindahkan.

    Fasiliti itu, yang dioperasikan bersama oleh ESA dan Agensi Aeroangkasa Jerman, akan digunakan untuk menguji rover bulan serta menjalankan latihan berjalan di permukaan bulan dengan mengenakan sut angkasa, di samping latihan-latihan lain yang berkaitan. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda