Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Fathul Barakah cakna golongan mualaf

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 FEB – Bersempena menyambut kedatangan bulan Ramadan dan memberikan peluang kepada orang ramai bagi sama-sama memberikan infak jariah berupa makanan asasi kepada asnaf mualaf yang memerlukan, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) melalui Pusat Dakwah Islamiah (PDI) dengan kerjasama Persatuan Saudara-saudara Baharu Negara Brunei Darussalam meng-ungkayahkan Projek Fathul Barakah 5.0.

    Lebih daripada 300 set infak berjaya dikumpulkan melalui projek berkenaan yang telah diadakan secara serentak di keempat-empat daerah iaitu di Bangunan Darul Huda, PDI, Kampung Pulaie; Pejabat Unit Dakwah Daerah Tutong; Pejabat Unit Dakwah Daerah Belait dan Pejabat Unit Dakwah Daerah Temburong secara pandu lalu pada 17 dan 18 Februari 2024 yang lalu.

    Majlis Penyerahan Projek Fathul Barakah 5.0 diadakan di Dewan Persidangan, PDI dan dihadiri oleh Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keagamaan), KHEU, Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd Salleh selaku tetamu kehormat majlis.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah oleh Penolong Ketua Bahagian Pengembangan Dakwah (Dakwah Khas), PDI, Awang Mohammad Yusri bin Haji Abdul Majid.

    Diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Pemangku Pengarah PDI, Haji Ahmad Abdussalam bin Haji Abd Rahman. Dalam ucapan alu-aluannya, beliau mengambil kesempatan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada orang awam atas sambutan yang menggalakkan dalam Projek Fathul Barakah kali ini.

    Majlis diteruskan lagi dengan penyerahan infak Projek Fathul Barakah 5.0 berserta penyerahan buku Panduan Sembahyang Sunat Tarawih dan Witir (Siri Bimbingan Mualaf) dan Ratib Al-Attas (Siri Bimbingan Mualaf) kepada 30 buah keluarga mualaf dari Daerah Brunei dan Muara yang disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis.

    Tujuan projek itu diadakan adalah sebagai satu sarana dakwah dalam memeduli kesejahteraan asnaf mualaf bagi menjamin kehidupan yang lebih baik. Ia juga bertujuan bagi meringankan beban para mualaf dalam membuat persiapan untuk menyambut kedatangan bulan Ramadan yang akan tiba.

    Penyerahan infak akan diteruskan lagi oleh Bahagian Pembangunan Mualaf (Kebajikan Mualaf), PDI dan Unit Dakwah daerah masing-masing dengan mengunjungi beberapa buah rumah mualaf yang terpilih.

    Haji Abdul Rajid semasa menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda