Kecewa filem pertama terbitannya iaitu Janna Endoro kurang mendapat sambutan, pelakon Linda Rafar terpaksa mengambil inisiatif dengan meminta bantuan promosi daripada rakan-rakan artis.
Selaku penerbit, Linda atau Azlinda Abdul Rafar, 46, berkata dia perlu bergerak sendiri mempromosikan filem berkenaan yang kini masih ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia.
“Sedihlah penerbit sendiri terpaksa buat muka tak malu minta bantuan rakan-rakan artis untuk membantu dalam promosikan filem ini. Nasib baik semuanya kawan-kawan saya.
“Saya telefon semua artis-artis yang saya kenal seperti Norman KRU, Beto Kusyairy, Erra Fazira, Azad Jasmin, Raff Yaakob dan ramai lagi.
“Alhamdulillah mereka tolong saya dengan ikhlas untuk memuat naik video promosi filem ini ke platform media sosial mereka,” katanya ketika dihubungi mStar hari ini.
Mengakui kecewa dengan sambutan diberikan, Linda berkata kurangnya promosi mungkin menjadi faktor filem ini tidak diketahui masyarakat.
Disebabkan kurang penonton, pawagam juga mengurangkan tempoh tayangan untuk filem berkenaan.
“Kami diberi tempoh dua minggu untuk tayangan filem tetapi disebabkan tiada sambutan selepas tiga hari filem saya sudah tidak ditayangkan di kebanyakan pawagam.
“Bayangkan daripada tayangan 50 buah pawagam selepas tiga hari hanya lima pawagam sahaja yang menayangkan Janna Endoro.
“Saya reda mungkin ini ujian buat saya tetapi saya kecewa kerana saya yakin sekiranya promosi dibuat dengan baik, filem ini pasti diterima ramai,” ujarnya. – Agensi