MANILA, 4 JAN – Ratusan pegawai polis berpangkat tinggi di Filipina hari ini telah diarah untuk meletak jawatan ketika kerajaan cuba ‘membersihkan’ pegawai dalam perkhidmatan yang terlibat dalam pengedaran dadah.
Menteri Dalam Negeri, Benjamin Abalos mengarahkan kesemua pegawai berpangkat kolonel dan jeneral membabitkan keseluruhan kira-kira 300 orang untuk meletakkan jawatan secara ‘ikhlas’ selepas siasatan mendapati ‘ramai’ yang terlibat dalam kegiatan narkotik.
“Sekiranya tidak terlibat, mereka tidak perlu merasa risau,” Abalos berkata semasa sidang media di ibu pejabat polis kebangsaan di Manila.
Sesiapa yang tidak mengemukakan peletakan jawatan mereka akan ‘dipersoalkan’,” tambahnya.
Abalos menyifatkan langkah tersebut sebagai radikal dan ‘jalan pintas’ selepas siasatan sebelum ini terhadap pegawai yang didakwa terlibat dengan rasuah, mengambil masa yang lama dan tidak banyak menghasilkan keputusan.
Ini bukan kali pertama pendekatan kejam sebegini digunakan untuk membersihkan anggota polis Filipina. Mantan presiden, Fidel Ramos melaksanakan tindakan keras terhadap polis pada awal 1990an, mengarahkan kesemua pegawai yang berusia 56 tahun ke atas atau yang berkhidmat lebih 30 tahun untuk meletak jawatan. Ini termasuk ketua polis kebangsaan dan sembilan orang pegawai kanan telah meletak jawatan.
“Ini merupakan satu-satunya cara untuk membersihkan barisan ini dengan cepat,” kata Abalos.
“Sukar untuk berjuang sekiranya sekutu kita akan menembak dari belakang,” tambahnya.
Pegawai polis telah membunuh ribuan yang didakwa pengedar dan pengguna dadah sejak pertengahan 2016, namun pengkritik berkata golongan yang kaya dan berkuasa masih tidak disentuh.– AFP
