Tuesday, April 8, 2025
24.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Filipina dakwa pengakuan perisik di China ‘direka’

    MANILA, 6 APRIL – Kerajaan Filipina kelmarin menyifatkan ‘pengakuan’ tiga rakyatnya yang ditahan oleh China atas dakwaan pengintipan sebagai “direka” dan menuntut Beijing agar menghormati hak-hak mereka.

    Kejadian itu berlaku dua hari selepas Beijing mengumumkan bahawa mereka telah ‘memusnahkan’ satu rangkaian perisikan yang didakwa ditubuhkan oleh agensi perisik Filipina, serta menahan tiga individu warga Filipina.

    Tahun ini, beberapa warga China turut telah ditangkap di Filipina atas dakwaan mengintip kem tentera dan kapal laut.

    Siaran penyiar rasmi China, CCTV, pada Khamis menyiarkan rakaman ‘pengakuan’ salah seorang suspek perisik Filipina, mendakwa lelaki itu telah tinggal lama di China dan mengintip berhampiran kemudahan ketenteraan.

    Namun, Majlis Keselamatan Negara (NSC) Filipina membalas bahawa “pengakuan tersebut kelihatan direka dan dibuat dalam keadaan tidak bebas,” menurut kenyataan rasmi.

    NSC turut menyifatkan penahanan itu sebagai kemungkinan tindakan balas terhadap beberapa tangkapan sah ke atas ejen China dan konco-konconya di Filipina baru-baru ini.

    Tiga rakyat Filipina yang tidak dinamakan itu dikatakan antara 50 penerima biasiswa dari Universiti Nasional Hainan, China.

    “Mereka hanyalah rakyat Filipina biasa yang tiada latihan ketenteraan dan hanya pergi ke China atas jemputan rasmi kerajaan China untuk melanjutkan pelajaran,” kata NSC.

    “Mereka merupakan warga yang mematuhi undang-undang, tiada rekod jenayah dan telah disaring oleh kerajaan China sebelum memasuki negara itu,” tambah kenyataan itu. – AFP

    Gambar AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda