KUALA LUMPUR, 2 FEB – Trafik penumpang udara dijangka pulih sepenuhnya tahun ini, dengan unjuran awal memaparkan pertumbuhan empat peratus berbanding dengan paras prapandemik pada 2019, kata MIDF Research.
Menurut firma penyelidikan itu, perkembangan utama yang diramalkan adalah pengaktifan semula sepenuhnya kumpulan pesawat AirAsia yang dijadualkan pada suku pertama 2024 berikutan kelewatan awal, yang sewajarnya memangkin pemulihan sepenuhnya trafik penumpang udara.
“Kemasukan tanpa visa untuk penumpang China dan India turut dijangka menyumbang kepada pemulihan selanjutnya bagi rantau Asia Timur Laut, memandangkan sektor bukan Asean menyusuli dengan pemulihan 73 peratus pada 2023,” katanya dalam nota hari.
MIDF berkata pengecualian visa yang dilaksanakan sejak Disember 2023 dan seterusnya belum memberikan impak ketara, berkemungkinan disebabkan oleh pertumbuhan kapasiti tempat duduk secara beransur-ansur yang disesuaikan dengan permintaan.
Bagaimanapun, katanya, rekod kapasiti tempat duduk yang terkini bagi syarikat penerbangan itu pada 2024 menunjukkan peningkatan sebanyak 13.0 peratus tahun ke tahun.
Sementara itu, RHB Research berkata Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) menjangkakan trafik penumpang di Malaysia mencapai antara 93.9 juta dan 107.1 juta penumpang tahun ini, menandakan pemulihan sepenuhnya. – Bernama
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2024/02/P10-E-web-Freepik_03022024.jpg)